Monday, February 7, 2011

K'jaan Negeri sumbangkan RM100,000 bantu pelajar Kedah di Mesir


Monday, February 7, 2011
K'jaan Negeri sumbangkan RM100,000 bantu pelajar Kedah di Mesir
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan RM100,000 kepada pelajar Kedah di Mesir bagi membeli makanan dan barangan keperluan sepanjang mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Jeddah.

Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, bantuan itu dihantar bersama empat pegawai Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) Khamis lalu, untuk memantau keselamatan pelajar yang terkandas di sana.

“Sebagai permulaan peruntukan itu adalah bagi membeli makanan dan keperluan harian pelajar yang belum pasti bila akan jejak ke tanah air. Difahamkan, seramai 835 pelajar Kedah sedang mengikuti pengajian di Mesir,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa diminta bersabar kerana proses penghantaran pulang pelajar Malaysia sedang dilakukan Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri turut memantau perkembangan menerusi pegawai YINK yang berada di sana.

“Kita beri keutamaan pada pelajar yang berkeluarga, ada anak kecil, ibu mengandung, kurang sihat akan dibawa pulang terlebih dahulu. Bagaimana pun setakat semalam, dilaporkan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Mohamed Taulan berkata, buat masa ini kesemua pelajar Kedah berkumpul di Jeddah dan kerajaan Arab Saudi memberi tempoh transit selama sebulan.

“Mungkin ambil masa sedikit untuk bawa mereka pulang ke Malaysia. Bagaimana pun mereka tetap akan dibawa pulang sama ada melalui pengangkutan udara mahupun laut. Mereka dijangka tiba di Pulau Pinang atau Port Kelang tapi tarikhnya saya tak pasti,” katanya.

Mohamed Taulan berkata, beberapa pegawai di Iskandariah turut memaklumkan situasi di sana tidak lagi genting seperti minggu lalu, dan sebahagian kedai runcit dan institusi bank telah beroperasi.

“Perintah berkurung masih berjalan. Pada waktu siang, sudah ada yang keluar membeli makanan, cuma waktu malam mereka tidak berani keluar rumah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat pemimpin pembangkang mempolitikkan pelan tindakan menyelamat rakyat Malaysia di Mesir, yang dikatakan lambat bertindak, Mohamed Taulan berkata, isu ini mungkin dimanipulasikan pihak lain yang berkepentingan peribadi.

“Saya percaya isu itu bukan dipolitikkan oleh parti Pas, sebaliknya diprovokasi pihak tertentu yang sengaja mahu memburuk-burukkan parti pembangkang. Mungkin dakwaan bantuan lewat itu sekadar luahan ibu bapa yang bimbangkan keselamatan anak mereka,” katanya.

Mohamed Taulan berkata, Kerajaan Negeri mahupun pemimpin pembangkang tidak pernah mempertikai sama ada bantuan lewat diberikan atau sebaliknya, kerana yang penting kerjasama semua pihak bagi melancarkan proses perpindahan pelajar.

0 comments:

Post a Comment