Thursday, February 26, 2009

HENTI LAGAKAN RAKYAT-ISTANA!

 
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
 
Alor Setar: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Insan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Penerangan, YB Dr. Ismail Salleh menyelar pihak-pihak tertentu yang menjadi batu api untuk melaga-lagakan antara kerajaan Pakatan Rakyat dan pihak istana.
Mengulas tindakan Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Haris Che Mat yang memberitahu akan membuat laporan polis terhadap surat layang yang mendakwa kononnya seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Sultan, Dr. Ismail menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'kurang cerdik'.
"Takkanlah surat layang yang penulisnya pun takut untuk mendedahkan identiti, mahu dijadikan asas rujukan, nampak sangat tindakan (Pemuda) itu kurang cerdik," ujarnya.
Menurut Dr. Ismail, sekalipun seandainya sesuatu maklumat itu benar tetapi ia boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian antara rakyat, sepatutnya sebagai pemimpin bertanggungjawab perkara seperti itu tidak diperbesarkan.
Apatah lagi, katanya, jika isu dibangkitkan langsung tidak mempunyai asas dan bukti, sebaliknya fitnah yang disebarkan melalui surat layang semata-mata.
"Dari aspek yang lain nampak sangat mereka ini berniat jahat serta ingin mencari keuntungan politik sempit, langsung tidak memikirkan soal keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
"Lebih malang lagi pihak yang mereka mahu lagakan adalah antara kerajaan pilihan rakyat dengan istana," ujarnya.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu menasihatkan UMNO supaya berpada-pada dalam berpolitik. "Jangan hanya kerana kemaruk kuasa, nikmat kesejahteraan yang kita kecapi selama ini mahu dihancurkan dengan sekelip mata," katanya.
Mengenai hubungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dengan pihak istana, Dr. Ismail menjelaskan bahawa ia berlangsung dalam suasana amat baik. Tuanku Sultan sendiri, kata Dr. Ismail, sedar mengenai permainan pihak tertentu untuk memecahkan keharmonian antara kerajaan negeri dan istana.
"Saya menyeru Pemuda UMNO supaya insaf dan bertaubat, hentikanlah kerja mengadu domba kerana itu adalah kerja syaitan," ujarnya.

Siapa Exco Kedah derhakai Raja?


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat muncul bersama gerombolan 'nangoi-nangoi' Umno umum akan membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah kononnya Exco tersebut menghina Sultan. Ia berdasarkan surat layang yang mendakwa Exco tersebut menghina Sultan. Begitulah rendahnya mutu berfikir Pemuda Umno, membuat dakwaan berasaskan surat layang. Jika polis dibenar untuk dibebankan menyiasat isi kandungan surat layang maka eloklah semua surat layang perihal kebejatan pemimpin yang tersebar luas waktu pilihanraya umum dan sewaktu pemilihan Umno sekarang ini dirujukkan ke balai polis. Terpaksalah pula polis mewujudkan sebuah unit khas untuk menyiasat surat layang.

Apa yang dilakukan oleh Haris dan gerombolannya adalah senario semasa yang sedang melanda Umno di seluruh negara iaitu wabak 'report polis'. Atas pelbagai isu, pemimpin dan ahli Umno berulang-alik ke balai polis di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Secara bergurau seorang sahabat berkata, "Dulu, masa jadi kerajaan Umno sibuk dok hurung projek, bila jadi pembangkang sibuk hurung balai polis, aku ingat simbol keris pada Umno patut diganti dengan simbol balai polis."

Kebetulannya isu derhaka yang dicetuskan oleh Pemuda Umno Kedah itu berlaku sehari selepas calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Ali Rustam mencetuskan kontroversi dengan mengadakan 'ceramah politik' di hadapan Tuanku Sultan Kedah dalam majlis  Pelancaran Buku Semangat Keris Melayu. Agak memalukan kerana dia hadir berucap sebagai Presiden Dunia Melayu Dunia Islam, tetapi memberi ucapan seolah-olah berkempen untuk memenangi jawatan penting dalam Umno. Jika Ali berucap di hadapan Sultan Perak, barangkali tidak menjadi hal. Tetapi apabila dia berucap di hadapan Sultan Kedah yang terkenal sebagai seorang raja yang bersikap adil terhadap rakyatnya, maka ucapannya jadi sumbang serta tidak disenangi oleh ramai hadirin.

Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ismail Salleh yang turut hadir mewakili Menteri Besar antara yang tidak senang dengan ucapan Naib Presiden Umno itu lalu membidas, "Memang realiti semasa dalam Umno menunjukkan bahawa Ali telah ketinggalan dari segi sokongan terhadapnya, tapi amat tidak wajar untuk dia 'meracau' dalam program seperti ini untuk menaikkan saham dirinya."

Di samping menyiarkan kecaman Dr. Ismail dalam laman web Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, saya turut menyiarkan petikan tulisan Mohd Fadli Ghani perihal perderhakaan Presiden Umno yang pertama, Dato' Onn Jaafar terhadap Sultan Kedah iaitu Tunku Badlishah ayahanda kepada Sultan Abdul Halim yang memerintah Kedah sekarang.

Fadli menulis, "Umno secara terbuka menghina Sultan Kedah (Tunku Badlishah) dalam beberapa isu yang berbangkit pada 1948 dan mendakwa Raja-raja Melayu tidak wajar meminggirkan Umno yang mempertahankan Raja-raja Melayu semasa Malayan Union.

"Akhirnya, Sultan Kedah berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menolak cadangan Umno untuk melantik seorang Melayu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi.

Kerana gagal dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu, Presiden Umno, Dato' Onn sekali lagi menderhaka dengan menuduh Raja-raja Melayu memungkiri janji dan bertindak tidak mengikut perlembagaan.

"Ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Umno di Butterworth pada 27 Ogos 1949, Dato' Onn menuduh raja-raja lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan orang Melayu. Beliau juga menuduh Raja-raja Melayu berkomplot dengan British untuk melemahkan Umno dengan melarang pegawai Melayu berpolitik.

"Lebih dahsyat lagi penderhakaan ini apabila Presiden Umno menuduh Sultan Kedah sebagai 'kacang lupakan kulit' dan mengugut untuk mengajak ahli Umno menamatkan pemerintahan feudal beraja ini. Akibatnya, Sultan Kedah menyatakan hasrat mengharamkan Umno di negeri itu dan Sultan Johor memaksa Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 17 Jun 1949."

Rupanya, kisah sejarah yang disiarkan dalam laman web rasmi Urusetia Penerangan itu mendapat sambutan sangat baik dari pembaca. Mereka mencadangkan supaya catatan perderhakaan Umno disenarai dan disebarkan seluas-luasnya. Biar mereka tahu dalam catatan sejarah Umnolah yang paling banyak menderhakai Sultan.

Haris Che Mat dan para Pemuda Umno masih di alam kanak-kanak sewaktu Dr. Mahathir dan Umno mengadakan road show ke seluruh negara pada tahun 1983 bagi meminda perlembagaan untuk membuang kuasa raja-raja. Mereka tidak tahu perihal Tengku Ibrahim 'ditabalkan sebagai Sultan Kelantan' oleh Umno setelah BN kalah kesemua kerusi di Kelantan pada pilihnraya umum ke lapan. Mereka masih 'kanyak' untuk memahami tindakan Umno meminda perlembagaan pada tahun 1993 bagi membuang kuasa raja-raja. Ia didahului dengan perang saraf yang bertalu-talu oleh media talibarut BN mendedahkan keaiban raja-raja Melayu. Berminggu-minggu pihak istana dilondehkan.

Sultan Kedah antara yang teruk diaibkan. Almarhum Dato' Fadzil Noor antara tokoh yang lantang menentang tindakan biadap Umno terhadap raja-raja. Ke mana Sultan Kedah pergi, orang PAS datang berpusu-pusu bertemu baginda. Dalam satu majlis di Masjid Zahir, Alor Setar, keberangkatan baginda disambut ribuan penyokong PAS dengan laungan takbir dan Daulat Tuanku. Baginda sampai menitiskan air mata terharu. Sebab itulah tidak pelik jika Ustaz Fadzil satu-satunya tokoh yang menerima anugerah Dato' sewaktu menjadi pembangkang.

Hari ini jika isu derhaka diputarkan oleh piring hitam karat Umno, ia hanya mampu membakar semangat Pemuda dan Puteri Umno yang tidak pernah menelek kitab sejarah. Veteran Umno yang jujur dan tidak memutarbelitkan peristiwa lalu seperti Tengku Razaleigh dan Tun Dr. Mahathir, setakat ini masih berani bercakap benar sekalipun terdapat ramai pemimpin Umno yang berpura-pura lupa. Melayu Umno mungkin mudah lupa, tetapi sejarah tidak pernah berbohong.
 
DAPATKAN BERITA TERKINI DI www.wartakedah.com