Thursday, January 28, 2010

Kedah catat pelaburan ke-5 tertinggi

Kedah catat pelaburan ke-5 tertinggi
Ali Hashim


ALOR SETAR, 28 Jan: Negeri Kedah telah berjaya mencapai pelaburan keseluruhan bagi tempoh Januari hingga September 2009 sebanyak RM839 juta.

Manakala pelaburan tempatan pula berjumlah RM279.4 juta serta pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM559.8 juta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, sehingga tempoh tersebut juga Kedah berada pada tangga kelima bagi jumlah pelaburan terbanyak dalam negara ini.

"Walaupun jumlah pelaburan bagi tiga bulan terakhir belum dikemaskini oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, namun begitu statistik ini sudah dapat membuktikan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa ekonomi Kedah tidak memberangsangkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang adalah tidak benar sama sekali.

"Malahan pada bulan Disember 2009, terdapat penambahan pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi pembesaran kilang panel solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih daripada seribu orang.

"Kerajaan negeri juga sedang merangka program ekonomi yang berasaskan pertanian sebagai persediaan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian utama," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menambahkan pelaburan dalam bidang pembuatan, industri minyak dan juga automotif.

Sunday, January 24, 2010

Kedah telah laksana 80% janji manifesto


Kedah telah laksana 80% janji manifesto
Ali Hashim

PADANG SERAI, 24 Jan: Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya melaksanakan 80 peratus janji dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu walaupun belum mencapai tempoh pemerintahan negeri selama 24 bulan.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali, ini membuktikan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mampu untuk mentadbir dan mengurus selia negeri dengan baik dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau lagi pada tahun 2009 yang lalu bajet sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berkebajikan kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

"Kerajaan negeri juga telah menguntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain," katanya.

Malah, menurut beliau, dengan siapnya kampus baru di Kuala Ketil pada tahun 2012 yang akan datang universiti ini akan memberi peluang kepada 7 ribu pelajar untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran di situ.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas berkata, kerajaan yang dipimpin oleh PR adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan yang telah dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional apabila kebajikan dan kesejahteraan rakyat didahulukan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian PASTI Al Munawwarah, Taman Lagenda, Padang Serai.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan kepimpinan PAS kawasan Padang Serai.