Saturday, June 20, 2009

Isu perpaduan terpulang pada Presiden - Ustaz Azizan

Izwan Abdul Halim
Sat | Jun 20, 09 | 12:21:24 pm MYT
ALOR SETAR, 20 Jun (Hrkh) - "Alhamdulillah...(sambil menadah kedua belah tangan) baru dia tau PAS ikhlas? Lama dah ikhlas, tapi depa (mereka) yang tak ikhlas dengan kami!," demikian reaksi spontan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika diminta wartawan mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa PAS ikhlas untuk berbincang mengenai Kerajaan Perpaduan.


Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini 17 Jun lalu, Ustaz Azizan bagaimanapun enggan memberikan kenyataan lanjut berhubung polemik tersebut.

"Kerajaan Perpaduan ni yang bercakap Presiden (PAS), biar dialah selesai, saya ni orang bawah saja. Saya tiada komitmen apa pun. Perpaduan baguslah... semua berpakat! Dengan DAP, PAS, Umno, Gerakan, MCA kita pakat dok sekali semua, perpaduanlah macam tu agaknya atau macam lain? Saya tak tahu, nak cakap macam mana?

"Kalau kita dah jelas konsep itu bolehlah beri komen. Mungkin perpaduan ni semua parti duduk bersama dan menggerakkan negeri bersama...mungkin! Perpaduan macam sekarang PAS, DAP, KeADILan itu perpaduan juga, kerajaan juga. Perpaduan peringkat BN macam MCA, MIC, Gerakan, Umno dan lain-lain, (itu) perpaduan juga.

"Kalau semua perpaduan tak bagus juga, tak ada pembangkang. Pembangkang mesti ada. Kalau tak ada pembangkang kita tak tahu mana kerja betul mana tidak betul, semacam semua. Kalau pun salah tak ada siapa tegur kita, pembangkang perlu. Kalau semua bersatu tak betullah, tak ada maknalah. Tak ada dalam dunia satu kerajaan saja memerintah tak ada parti pembangkang. Mesti ada pembangkang barulah demokrasi itu hidup," ujarnya sekadar menyatakan pandangan.

Oleh itu beliau berharap agar pihak media menunggu penjelasan dari Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri.

"Lagipun dalam PAS tak semua sokong. Masa muktamar hari tu pun banyak pandangan-pandangan yang tak merestuai tentang apa yang dikatakan perpaduan kerana orang tidak jelas apa itu perpaduan, nak buat orang tak tahu.

"Tapi orang merestui Hadi untuk berunding dengan sesiapa sahaja. Sebagai parti politik, sebagai kerajaan kita boleh berbincang dengan sesiapa sahaja. Kita dengarlah, kita setuju belum tahu lagi. Perundingan itu menunjukkan keterbukaan kita.

"Saya tidak mahu kata 'yes or no' sebab saya bukan orang yang melontarkan idea. Tetapi ingatan saya masa muktamar baru ni dia (Presiden) cakap dia bersedia untuk berunding dengan sesiapa sahaja, itu 'good'. Tok Guru Nik Aziz pun berunding dengan Lee Kuan Yew," ujarnya menerangkan keterbukaan PAS itu. - mns_

Wednesday, June 17, 2009

MB tidak bermaksud 'Kerajaan Perpaduan'

17 June 2009


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak bermaksud untuk berunding dengan UMNO berhubung pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid berkata, apa yang dimaksudkan Azizan dalam kenyataan sebelum ini ialah pihaknya sudah lama mengamalkan perpaduan dalam mentadbir kerajaan negeri termasuk kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO mahupun pihak-pihak lain dalam memajukan rakyat dan negeri Kedah.

“Itu yang dimaksudkan oleh Menteri Besar. Beliau sama sekali tidak bermaksud untuk berbincang dengan UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan di peringkat negeri. Ini semua tidak perlu kerana kita (Pas) masih mempunyai cukup kekuatan bersama komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk mentadbir negeri ini,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan ketika membuat kenyataan itu sekadar mengulas kenyataan terdahulu oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

“Bagi Menteri Besar, dalam perkara perpaduan, Pas Kedah sememangnya sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi dalam konteks kerajaan perpaduan, perkara itu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan Pas di peringkat Pusat,” katanya.