Monday, June 23, 2008

Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan Dipermainkan

PADANG SERAI: Kesal dengan tindakan pihak sekolah tidak mengizinkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Ustazah Siti Ashah Ghazali masuk ke kawasan sekolah.

Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan (PEKHIDMAT) tetap meneruskan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Kali Kedua pertubuhan tersebut di tempat berasingan. Pengerusi PEKHIDMAT, Ramli Abu Bakar yang ditemui pada majlis tersebut mendedahkan, mesyuarat agong pertubuhan tersebut sepatutnya diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Lela Pahlawan di sini bermula 24 Mei dan berakhir 26 Mei. Bagaimanapun, pihak sekolah menghubungi beliau dua hari sebelum program melarang Ustazah Siti Ashah masuk ke kawasan sekolah. Jelas beliau, apabila perkara itu diminta penjelasan, pihak sekolah sekadar menjawab ‘arahan pihak atasan’.




Beliau yang seterusnya merayu kepada guru besar, bagaimanapun menerima jawapan yang sama. “Perjumpaan kali pertama dengan pihak sekolah iaitu dua minggu sebelum majlis tersebut dan pihak sekolah telah menyatakan persetuju melalui surat yang dikeluarkan,” jelas beliau yang hadir jauh dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menjayakan program tersebut. Tidak mahu bertentangan dengan pihak sekolah, beliau menjelaskan pihaknya mengambil keputusan menyewa khemah untuk mengadakan majlis di tempat berasingan. “Sedikit sebanyak, kekesalan tu sememangnya terasa apabila pihak sekolah buat kami seperti ini. Sepatutnya pihak sekolah memaklumkan kepada kami lebih awal. “Bagi saya, tindakan pihak sekolah boleh dianggap menderhaka kepada kerajaan negeri yang memerintah di Kedah. Ini bagi pendapat sayalah,” ujarnya yang turut memaklumkan program lain tetap diteruskan di sekolah berkenaan dengan bayaran sewa yang dikenakan pihak sekolah.




Bagi Penyelia PEKHIDMAT Zon Utara, Ahmad Kamal Abu Bakar yang menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian tersebut turut meluahkan rasa kesalnya yang tidak terhingga terhadap tindakan itu. “Kita jangan anggap kita 50 tahun memerintah, kita anggap kitalah paling raja dalam segala raja. Kita manusia biasa, tidak kekal kuasa yang ada pada kita. “Kita akan mati, kuasa akan pergi dari kita. Harta yang banyak kita akan tinggal. Apa yang kita akan bawa? Kain putih, kain kafan itu sahaja,” katanya diawal ucapan.




Beliau turut mengingatkan agar tidak sombong dan berlagak sombong dengan manusia apatah lagi dengan Allah SWT serta tidak bersikap besar diri di atas muka bumi Allah kerana semua manusia akan kembali kepada Allah.“Cuba kita fikir apa yang mereka buat? Lebih teruk daripada beruk!” ujarnya yang nyata sukar membendung rasa kesalnya dengan perkara tersebut. Menurutnya lagi, manusia perlu dikenalkan dengan Islam, bukan Islam Hadhari. Islam jelasnya, adalah agama yang syumul dan bukan agama yang ada had dan hari. Oleh itu, katanya mestilah berpegang kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah.




Diakhir ucapannya, beliau menjelaskan PEKHIDMAT telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan nama asal Barisan Alternatif. Bagaimanapun ia kemudian didaftarkan secara rasmi empat tahun lalu dan menjalankan mesyuarat agongnya secara dwi-tahunan. Sementara itu, Ustazah Siti Ashah yang berucap merasmikan mesyuarat agong tersebut melahirkan rasa sedih dan kesalnya dengan tindakan pihak berkenaan.




Jelasnya, tindakan itu berupa satu penganiayaan yang tidak sepatutnya dilakukan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang upaya dan sewajarnya dilayan dengan penuh prihatin. Biarpun majlis tersebut dijalankan secara berasingan di bawah khemah, namun suasana muhibbah dan meriah jelas terasa dengan paluan kompang, salawat dan acara memotong kek sebagai simbolik perasmian.

Sunday, June 22, 2008

Assalamualaikum,

Selamat Datang Ke Laman Blog Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Merbau Pulas yang terletak didalam Kawasan Parlimen Padang Serai.

Kami mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan, kritikan dan juga nasihat bagi menjadikan PKWR Merbau Pulas berperanan didalam masyarakat dan penduduk sekitar DUN Merbau Pulas khasnya dan Umat Manusia seluruh Dunia Amnya.

sekian

moderator