Sunday, September 14, 2008

Wednesday, September 10, 2008

MENTERI BESAR ZIARAH MANGSA BANJIR

Oleh Izwan Abdul Halim

YAN – Ujian yang dihadapi mangsa banjir di saat umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadhan mendapat simpati Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak. Beliau yang mengadakan lawatan ke pusat-pusat pemindahan pada 7 September lalu mendoakan kesejahteraan buat mereka dan mengharapkan agar mangsa-mangsa kejadian dapat bersabar.
Pada lawatannya itu, Menteri Besar turut menyampaikan
bantuan permulaan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dermawan yang bersimpati.
Menurut beliau, bantuan seterusnya akan disalurkan setelah penilaian dilakukan kepada mangsa terbabit. Ustaz Azizan turut menziarahi jenazah warga emas, Puan Aishah Salleh di Kampung Dulang Tengah dipercayai mati lemas setelah tergelincir ke dalam Sungai Dulang Kechil sebelum mengakhiri lawatannya di Taman Sinar Mentari, Bedong melawat mangsa-mangsa banjir yang telah pulang ke rumah masing-masing.
Turut serta dalam lawatannya itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dr Ismail Salleh dan YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, Ahli Parlimen Jerai, YB Mohd Firdaus Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan/Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri), Dato' Bashiruddin Abdul Jamil dan Pengarah JKM Negeri, Tuan Haji Zulkifli Ramli.
Dalam kejadian banjir yang melanda Daerah Yan, Kuala Muda dan Pendang baru-baru ini, seramai 1,565 mangsa dari 330 keluarga terpaksa ditempatkan di beberapa pusat pemindahan setelah rumah mereka dinaiki air.

Antara pusat pemindahan tersebut ialah Surau Kampung Teroi, Masjid Kampung Titi Teras, Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Surau Kepala Bukit, Surau Kempung Permatang Gedong dan Dewan KEMAS Kampung Baru.