Friday, February 12, 2010

Syarat penerima Skim Kafalah diperjelas


12 FEBRUARY 2010
Syarat penerima Skim Kafalah diperjelas
Oleh : NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

ALOR SETAR - Skim Kafalah adalah antara rancangan kerajaan negeri bagi mempastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, program ini mensasarkan golongan miskin yang berpendapatan rendah perkapita RM180 ke bawah sebulan atau pendapatan seluruh isi rumah RM720 ke bawah.

Berucap di majlis Pelancaran Skim Kafalah Kedah di Dewan Sri Negeri, beliau menjelaskan, waris akan menerima RM500 bagi setiap kematian. Namun pendapatan isi rumah mestilah kurang daripada RM720 bagi melayakkan mereka menerima skim ini.

Pemberian bantuan khairiat kematian Skim Kafalah ini adalah kepada rakyat asal negeri Kedah manakala rakyat yang lahir di luar Kedah tetapi bermaustatin secara tetap juga layak mendapat bantuan tetapi Majlis Ketua Kampung (MKK) atau penghulu perlu mengesahkan tempoh permaustatin tersebut kepada Pejabat Daerah.

“Setiap permohonan perlu disokong oleh dokumen-dokumen yang disahkan iaitu salinan sijil kematian, salinan sijil penguburan, salinan kad e-Sinar, salinan kad pengenalan waris yang menuntut, sub-baucer pembayaran yang ditandatangani penerima bantuan serta pengesahan oleh MKK atau penghulu di mana simati bermaustatin,” katanya.

Ustazah Ashah berkata, peruntukan akan disalurkan melalui akuan pegawai daerah berdasarkan jumlah DUN di daerah masing-masing manakala pembayaran akan dibuat secara tunai atau cek.

Dalam majlis tersebut, seramai 26 orang telah menerima bantuan khairiat kematian untuk bulan Januari.

Taktik ‘serangan gerila’ Umno Kedah

Taktik ‘serangan gerila’ Umno Kedah

Posted on Wednesday, February 10 @ 21:43:22 PST by Paktam
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Hanya sebulan sahaja lagi, genap dua tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah. Kedah masih berjaya mengekalkan rekod sebagai negeri tanpa kontroversi di kalangan negeri yang dikuasai Pakatan. Bahkan berbanding dengan Terengganu dan Perlis yang ditadbir BN, PAS dikira lebih selamat dari kontroversi besar dan terbuka.

Di kalangan Umno veteran atau yang sudah terpinggir dari kepimpinan yang ada hari ini, mereka banyak memuji kepimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar.



Setelah Umno Kedah ternyata tidak mampu untuk berdepan dengan PAS dalam ‘peperangan terbuka’ maka jalan yang dipilih oleh mereka sekarang ialah ‘serangan gerila’. Mereka menyerang berdasarkan isu-isu tertentu di peringkat lokaliti dan menyepikan diri apabila jawapan balas diberi. Ia nampak tidak serius tetapi ancamannya tetap ada, terutama di kalangan rakyat yang kurang mengikuti perkembangan semasa. Saya ingin mengemukakan beberapa contoh serangan gerila yang dilakukan BN.

Di Sik, pihak tertentu memainkan isu kononnya Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya, Sanusi Muhammad Nor telah menyalahgunakan wang milik Koperasi Beris Berhad. Sanusi dikaitkan kerana dia anak Sik yang bertanding kerusi DUN Belantek dalam pilihanraya lalu. Beliau tewas kepada Ketua Umno Bahagian Sik, Tajudin Abdullah sebanyak 252 undi, apabila calon BN itu mendapat lebih seribu undi pos dari anggota tentera yang dimasukkan nama mereka dengan sengaja oleh SPR. Dengan lain perkataan, calon BN yang menang itu layak digelar wakil pos, bukan wakil rakyat.

Apabila dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, bintang Sanusi gemerlapan dan mereka berusaha menggelapkan karier politiknya melalui fitnah kononnya beliau adalah pelahap duit koperasi Beris.

Koperasi Beris Berhad diwujudkan hasil dari perpindahan kira-kira 200 keluarga penduduk Beris akibat kampung mereka diambil-alih oleh kerajaan untuk dibina Empangan Beris.

Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah wang kepada kerajaan negeri (di zaman BN) dengan dua tujuan. Pertama, untuk pembinaan Empangan Beris dan kedua, untuk membayar pampasan kepada penduduk yang dipindahkan. Pampasan diberikan mengikut jumlah nilai tanah diambil di samping rumah dan tapak rumah yang terletak di Bandar Beris Jaya. Mereka juga diberi saham dalam Koperasi Beris Berhad, iaitu berupa tanah sebanyak 334 hektar (milik PKNK) untuk diusahakan. Setiap orang dianggarkan mendapat 200 pokok getah (sebagai nilai saham) dalam ladang yang diusahakan di atas tanah PKNK tersebut. Walaupun ia kononnya milik Koperasi Beris tetapi diusahakan oleh Kumpulan Ladang, bukan koperasi sendiri.

Isu besar yang tidak disedari oleh ahli koperasi itu ialah tanah tersebut masih milik PKNK apabila kerajaan negeri (dulu) tidak membayar RM10.2 juta kepada PKNK untuk membelinya bagi diserahkan kepada mangsa perpindahan. Ertinya, hanya pokok getah yang diusahakan milik mereka sedang tanah milik PKNK.

Tahun 2008 setiap ahli koperasi dibayar keuntungan projek RM4800. Berikutan kejatuhan harga komoditi peringkat global, tahun 2009 mereka hanya menerima RM1700 setiap orang. Di situlah timbul fitnah kononnya wang koperasi disonglap orang politik. Ada yang menyangka ia adalah bayaran diberi setiap tahun adalah pampasan tanah, walhal bayaran tersebut cuma keuntungan projek koperasi.

Terbaru, terdapat usaha ahli koperasi untuk mengusahakan sendiri projek, bukan menyerahkan kepada Kumpuan Ladang untuk diusahakan. Malangnya ia menemui jalan buntu kerana tanah tersebut milik PKNK bukan milik koperasi. Ia adalah angkara kerajaan lalu tetapi pihak lain pula yang menanggung akibat. Itu satu contoh ’serangan gerila’ BN.

Baru-baru ini Ketua Penerangan Umno Kedah, Ir. Nawawi Ahmad membidas kerajaan negeri kononnya gagal menarik pelancong ke negeri ini. Dakwanya pelancong merosot sebanyak 15 peratus dalam tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya. Petunjuk kemerosotan diperolehinya dari laporan jualan tiket yang dikeluarkan oleh korsortium feri ke Langkawi. Kenyataan itu bukan setakat satu ‘serangan gerila’ tetapi juga merupakan ‘serangan gila’ kerana ia bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen bahawa jumlah pelancong ke Langkawi bertambah pada tahun 2009.

Menurut fakta rasmi yang dikeluarkan oleh LADA, bilangan pelancong pada tahun 2008 ialah 2,303,098, manakala tahun 2009 ialah seramai 2,492,692. Maknanya pelancong bertambah. Jumlah yang berkurang cuma pelancong asing iaitu 740,394 (2009) berbanding 761,109 (2008), sedangkan jumlah pelancong domestik bertambah.

Kemerosotan kemasukan pelancong asing bukan isu besar kerana ia tidak hanya berlaku di Langkawi, sebaliknya di seluruh dunia akibak wabak H1N1.

Fakta yang dikeluarkan oleh LADA itu adalah berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Jabatan Laut, lapangan terbang dan imigresen. Tentulah faktanya sangat tepat berbanding Umno yang mengutip petunjuk hanya dari pengusaha feri Kuala Kedah. Malangnya, RTM hanya menyiarkan kenyataan bohong pemimpin BN dan menyembunyikan fakta yang dikeluarkan oleh LADA.

Begitu juga dakwaan kononnya pelabur lari dari Kedah. Sepanjang tahun 2010, Kedah mencatatkan sebanyak RM1.837 Billion yang membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 3,000 orang. MIDA meletakkan Kedah di tempat kelima jumlah pelaburan masuk terbesar di negara ini. Sebenarnya jika di masukkan pelaburan syarikat gergasi First Solar yang bernilai RM1 Billion, Kedah menduduki tempat keempat selepas Sarawak, Selangor dan Johor. Penjelasan sudah diberi dalam sidang DUN, semua ADUN BN mendengarnya. Tetapi di luar dewan, ’serangan gerila’ terhadap PAS berhubung itu pelabur terus dimainkan, kerana mereka tahu tidak semua rakyat mendapat maklumat sebenar.

Bagaimanapun kejayaan ’serangan gerila’ yang dibuat oleh BN dalam pilihanraya banyak bergantung kepada jumlah rakyat yang buta isu semasa. Semakin ramai golongan seperti itu, semakin untunglah BN.

Thursday, February 11, 2010

KEKUATAN PERAK ADA PADA 3 YB Lompat NI


Wednesday, February 10, 2010
KEKUATAN PERAK ADA PADA 3 YB LOMPAT NI


Keputusan yang diumumkan oleh mahkamah semalam sebenarnya hanyalah untuk menyempurnakan kekuatan negeri Perak yang asasnya hanya 3 orang YB yang ketepikan amanah rakyat di tempat yang diwakilinya.

Apalah sangat dengan kemenangan semalam yang hanya bersandarkan dengan 3 YB Lompat ini , apakah Barisan Nasional boleh mendabik dada dengan kekuatan ini, jika dibandingkan dengan kekuatan wakil rakyat pakatan yang diangkat oleh sekalian rakyat.

Cubalah bayangkan jika 3 YB Lompat yang tidak bermaruah ini berpaling tadah (walaupun ada angin-angin yang mengatakan surat hutang datang bertalu-talu ke rumah) apa akan jadi kepada negeri ini?

Oleh itu kami di pastambun menyarankan supaya 3 YB ini masuklah dalam BN supaya tidak memalukan negeri ini, dan berilah peluang kepada Zambri memerintah dalam keadaan selesa dan membangunkan negeri.

dipetik dari PASTAMBUN.blogspot.com

Hukum Menyambut Hari Valentine

Hukum Menyambut Hari Valentine

Posted on Wednesday, February 10 @ 20:24:03 PST by tokdalang

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.


Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

Ƙ Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Ƙ Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Ƙ Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Ƙ Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)”. –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (dari blog Cina Islam)

Kenyataan Media Tengku Razaleigh Hamzah

11 Februari 2010
27 Safar 1431H
Email : Topeng Perak® Unmasked

“Biar saya lanjutkan apa yang pernah saya katakan mengenai status Menteri Besar”

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Ia merupakan asas dan sumber kepada kuasa undang-undang, dan Raja-Raja telah bersumpah untuk mempertahankannya.

Menurut Perlembagaan, Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sehinggalah beliau meletak jawatan atas kerelaannya, atau disingkirkan melalui undi tidak percaya menerusi persidangan dewan undangan negeri.

Perlembagaan tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk menyingkirkannya melalui cara lain, termasuk melalui petisyen atau arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Dua prinsip perlu dijelaskan:

Pertama, kerajaan yang memerintah diasaskan menurut undang-undang dan prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan. Inilah yang membezakan di antara kerajaan yang dibentuk secara sah dan yang dibentuk secara kekerasan melalui undang-undang rimba.

Kedua, kerajaan yang dibentuk secara sah menurut Perlembagaan memperolehi kuasanya daripada mandat yang diberikan rakyat, hanya melalui cara itu. Mandat diberikan oleh rakyat kerana kerajaan itu dibentuk menurut Perlembagaan, dan pemimpin-pemimpinny a mereka pilih melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Kita perlu menguji mandat ini secara berkala. Pada waktu-waktu penting seperti apabila sesebuah kerajaan akan dibentuk atau dibubarkan, Perlembagaan memperuntukkan kaedah ujian yang formal dan definitif untuk mengukur sejauh mana mandat rakyat diperolehi oleh kerajaan berkenaan.

Jadi, kita adakan pilihan raya untuk menguji sejauh mana sokongan di kalangan rakyat yang diperolehi oleh seseorang calon pimimpin. Persoalan dikemukakan dalam pilihan raya yan dikawal oleh undang-undang dan persetujuan yang mendahului masa.

Jika pilihan raya tidak diadakan, atau sekiranya pilihan raya itu diragui kebebasan dan keadilannya, maka persoalankeabsahan kepimpinan tidak dapat ditentukan.
Walau seramai mana pun orang berarak dan meneriakkan nama anda, semuanya itu tidak diambil kira. Anda perlu membuktikan bahawa anda mempunyai sokongan pengundi melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Sama juga, Perlembagaan menyediakan satu kaedah definitif untuk menguji sama ada seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri masih mempunyai majoriti di Dun atau Parlimen. Kita akan kemukakan undi tidak percaya di Dun atau Parlimen.

Apa yang akan diambil kira nanti ialah keputusan persidangan tersebut. Ia tidak mengambil kira sebanyak mana akuan bersumpah, peralihan sokongan, sidang media dan perisytiharan yang dibuat. Ia juga tidak mengambil kira berapa banyak bentuk pengiklanan, pameran, tarikan dan tenaga yang ditanggung bagi menghadapi persoalan tersebut.

Bagi menguji secara formal mandat kerajaan sekarang, sama ada di Perak, Sabah atau kerajaan Persekutuan, persoalan perlu dikemukakan kepada rakyat melalui pilihan raya negeri, atau menerusi persidangan melalui undi formal di dewan. Inilah ujian-ujian yang diambil kira dalam demokrasi berperlembagaan kita.

Inilah juga apa yang diertikan sebagai demokrasi berparlimen. Untuk menyingkir atau membentuk kerajaan melalui cara selain itu akan menyalahi Perlembagaan, melunturkan kuasa undang-undang dan berhadapan dengan risiko pembentukan kerajaan yang haram.

Pihak berkuasa yang sah hanya boleh ditubuhkan melalui kaedah demokratik seperti yang disebut oleh Perlembagaan. Kuasa yang sah dan betul berbeza sepenuhnya daripada kuasa buas yang boleh dibeli, jual atau dirampas menggunakan kekuatan.

Tengku Razaleigh Hamzah
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 10:03 AM