Friday, August 28, 2009

Sumbangan Ramadhan - Mukim Bagan Sena

Jumaat 28/8/2009 - Seramai 60 orang menerima bantuan Sumbangan Ramadhan Kerajaan Negeri Kedah yang disampaikan oleh YB Ustazah Hjh. Aishah. Majlis berlangsung di dewan orang ramai Labu Besar. Dalam ucapan aluan, YB mengharapkan agar seluruh rakyat bersyukur dengan nikmat kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi hasil kemenangan Pakatan rakyat dalam PRU 12. Harapan YB juga agar rakyat sama-sama berdoa agar kemenangan ini dapat diteruskan untuk kesejahteraan bersama.




Wednesday, August 26, 2009

ADUN Lunas gugur, Kulim exco baru

26 August 2009

Sultan Kedah memperkenankan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lalu, digugurkan daripada jawatan exco Kedah, berkuatkuasa semalam dan digantikan oleh ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee.
Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Star hari ini.

Ahad lalu, Mohd Radzhi yang juga exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia, mengumumkan keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Sementara itu, Azizan berkata majlis angkat sumpah pelantikan Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan exco yang kosong itu, akan diadakan minggu depan.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawai-pegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Pada 24 Ogos, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain.

Azizan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sama ada akan melakukan penambahan atau perubahan portfolio exco berkenaan.

"Buat sementara, saya akan pegang portfolio itu (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia), sebelum majlis angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pemilihan Lim untuk menggantikan Mohd Radzhi dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan antara Menteri Besar dan Penasihat parti itu.

Katanya, pemilihan Lim juga mengambil kira faktor geografi kedudukan Lunas yang terletak berhampiran dengan Kulim.
Bernama

Tuesday, August 25, 2009

PAS menang di Permatang Pasir


25 ogos 2009
PAS menang di Permatang Pasir
kemaskini 7.31pm PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar tetapi merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai parti itu pada pilihan raya umum tahun lepas.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

Seperti diramalkan Pas berjaya mempertahankan Dun Permatang Pasir setelah hampir 80% undi dikira. keputusan tidak rasmi menunjukkan Pas mendahului dengan majoriti lebih 4 ribu undi. Hanya kira-kira 2 ribu undi sahaja yang belum selesai dikira.Hanya keputusan rasmi dari SPR sahaja untuk mengesahkan kemenangan Pas.

Kemenangan ini sekaligus meningkatkan agregat 7-1 Pakatan - Umno@BN dalam pilihanraya kecil pasca pilihanraya Umum ke 12. Kemenangan ini sekali lagi sebagai amaran rakyat kepada kerajaan 1 Malaysia yang diterajui oleh Umno@BN bahawa kebangkitan rakyat tidak boleh disekat serta rakyat tidak lagi mudah diperdaya dengan tohmahan dan propaganda murahan umno@BN setiap kali berlangsungnya pilihanraya.

Tahniah dan syabas kepada calon Pas serta kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada kemenangan calon Pas ini.

Monday, August 24, 2009

Foto Masalah Rumah Taman DESAKU





Mengkhianati Amanah Rakyat Hanya Menggamit Jalan Buntu


24 August 2009
LUNAS|M.RADHZI - Mengkhianati Amanah Rakyat Hanya Menggamit Jalan Buntu

Hari ini saya difahamkan Adun Lunas Sdr Radzhi Salleh telahpun mengisytiharkan keluar dari parti. Pimpinan parti sememangnya memandang serius prestasi beliau yang terbukti lemah sepanjang menjawat jawatan dalam kerajaan negeri.

Turut mengecewakan pimpinan ialah tuntutan perbelanjaan beliau yang tidak munasabah dan masalah perkahwinannya di Thailand. Amaran keras telahpun diberikan agar segera meningkatkan prestasi kerja dan memperkukuh khidmatnya di kawasan.

Nampaknya nasihat dan amaran kami tidak beliau endahkan, lalu mengambil tindakan mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Apapun alasan yang diberikan oleh beliau, saya berharap Sdr Radzhi sedar bahawa jangan sesekali bertindak mengkhianati amanah rakyat. Kerana “sesiapa yang menyemai angin, dia pastinya menuai badai.”

Berhubung kedudukan Sdr Razhi selaku Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah, saya yakin YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan akan membuat keputusan yang terbaik selepas membuat pertimbangan sewajarnya.

Seperti yang dijangkakan, mendekati tarikh mengundi Selasa ini, pastinya ada serangan bertujuan mengalih pandangan bersertakan cita-cita menggugat kerjasama kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pasir.

Adakah episod ini membabitkan tawaran sogokan jutaan ringgit? Saya tidak yakin SPRM yang dicurigai kewibawaannya mampu menjalankan siasatan tanpa ditunjuki serta berupaya memberi sebarang penjelasan memuaskan.

Izinkan saya menghimbau peristiwa pada tarikh 15 Disember 2008 yang menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat mula menyertai perbahasan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan harapan akan wujud sebuah institusi bebas memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Ternyata ada banyak kelemahan yang ketara terkandung di dalam rang tersebut, malahan telah kami perbahaskan dengan sabar agar ianya dapat diperbaiki demi kemaslahatan negara dan rakyat.

Dinukilkan peringatan Sayidina Ali r.a kepada Malik Ashtar ketika berbahas buat menjadi peringatan kepada diri saya dan rakan-rakan ahli Dewan Rakyat semua agar tidak memandang enteng tanggungjawab yang dipikul, kerana sesungguhnya jawatan ini adalah amanah dan bukannya satu keistimewaan.

Selepas berbahas panjang lebar, makanya Dewan Rakyat meluluskan satu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008. Riuh rendahlah kononnya kita menuju ke satu era baru yang menjanjikan perubahan. Tidak sampai setahun wujudnya SPRM, institusi tersebut terpalit dengan pelbagai tuduhan yang serius seumpama kematian Teoh Beng Hock serta skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang(PKFZ)

Hatta pendedahan saya ketika menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga menemui jalan buntu. Laporan Adun Kulim, Sdr Lim Soo Nee bahawa bekas Menteri Besar Kedah Dato Mahadzir Khalid cuba menyogok beliau dengan jumlah wang sekitar RM 4-5 juta untuk menyertai barisan nasional seumpama mencurah air di daun keladi.

Rakyat turut marah apabila SPRM gagal bertindak terhadap penyelewengan pimpinan umno-bn yang dikatakan memiliki mahligai jutaan ringgit, pembelian pangsapuri mewah menggunakan duit kerajaan negeri dan kemungkinan terlibat menggadai tanah berpuluh ribu hektar kepada negara asing. Timbul pertanyaan kepada rakyat jelata adakah SPRM yang asas penubuhannya untuk berfungsi sebagai sebuah badan bebas dari kongkongan telah menjadi satu lagi perkakas pemerintah?

ANWAR IBRAHIM

MB: ADUN Lunas akan digugurkan


MB: ADUN Lunas akan digugurkan

kemaskini 6.41pm Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan mana-mana exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan.

"Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim di Wisma Darul Aman di Alor Star, Azizan berkata Pakatan Rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Mohd Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Mohd Radzhi, yang dilantik memegang portfolio exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini, Mohd Radzhi berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan exco.

Sementara itu, Ahmad berkata PKR kesal sikap tidak bertangungjawab Mohd Radzhi yang keluar parti.

"Khabar angin dia hendak melompat telah lama kedengaran tetapi mengapa dia pilih hari ini untuk keluar parti. Ia tidak lain untuk melemahkan PKR dan merendahkan pimpinan PAS Kedah," kata Ahmad.

Ahmad berkata PKR akan meminta Mohd Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket parti itu.

Kedah mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN, manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.
BERNAMA