Wednesday, April 6, 2011

SADA tamatkan khidmat Pos Malaysia

SADA tamatkan khidmat Pos Malaysia
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 5 April: Syarikat Air Darul Aman (SADA) terpaksa menamatkan khidmat Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sebagai ejen kutipan bil air di Kedah apabila agensi itu mahu mengenakan kadar komisen bayaran ke atas pengguna.

Tindakan itu diambil setelah kegagalan kedua-dua agensi itu mencapai kesepakatan berhubung rundingan berhubung kenaikan kadar baru menjadikan keseluruhanya 90 sen untuk setiap bil.

"Pos Malaysia memberikan pilihan untuk mengenakan komisen 90 sen itu ke dalam bil pelanggan sekiranya SADA tidak mahu menanggung komisen yang dikenakannya.

"Oleh kerana kita tidak mahu membebankan pengguna dengan komisen itu dan kita membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pembayaran bil SADA di pejabat pos," kata Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ketika menjawab soalan tambahan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar bata) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Menurutnya, SADA telah telah mengemukakan permohonan meminta agensi terbabit mengkaji semula kadar komisen yang disifatkan terlalu tinggi berbanding kadar 40 sen yang dikenakan ejen-ejen lain seperti bank-bank tempatan, kedai TM dan kedai TNB.

"Rundingan melibatkan kedua-dua pihak menemui kegagalan apabila Pos Malaysia bertegas dan tidak berganjak dengan keputusannya mahu menuntut kenaikan komisen yang dipercayai untuk menekan agensi kerajaan negeri itu.

"Kita yakin Pos Malaysia mempunyai maksud yang tidak baik cuba menimbulkan kemarahan pengguna dan mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan negeri dengan kenaikan tersebut sedangkan di Perak, kadar yang dikenakan untuk kutipan bil Lembaga Air Perak hanya 50 sen dan di negeri-negeri lain kekal 70 sen setiap bil," katanya lagi.

Kata Phahrolrazi lagi, sebagai alternatif untuk tidak menyusahkan pengguna SADA telah membuka kaunter-kaunter bayaran bil di segenap pelusuk negeri sepanjang bulan Mac lalu di samping mengekalkan ejen-ejen sedia ada dan khidmat bayaran bil melalui internet.

"SADA akan membuka lebih banyak kaunter bayaran dari semasa ke semasa dan akan dimaklumkan kepada pengguna melalui cetakan pada bil SADA, media-media cetak, kain rentang dan makluman melalui ketua-ketua kampung dan biro pengaduan awam.

"Oleh yang demikian kita amat yakin penamatan Pos Malaysia sebagai ejen kutipan tidak akan menyusahkan pengguna sebaliknya akan menghindarkan pengguna dari terus terbeban dengan bayaran bil yang tinggi," katanya.

0 comments:

Post a Comment