Saturday, April 16, 2011

MB nafi dakwaan SMS

ALOR SETAR - “Apa yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu tidak tepat.”

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung penyebaran SMS mendakwa Timbalan Dekan Kuliyyah Al-Quran Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mohd Idrus Ismail dilucutkan jawatan manakala pelajar yang terlibat dengan demonstrasi dibuang dari kolej.

Beliau berkata, penyebaran SMS itu sengaja dibuat pihak tertentu yang mahu mengusutkan lagi kemelut yang dihadapi Kuin sejak kebelakangan ini, bermula dengan demonstrasi dan ancaman bom petrol (molotov koktel) baru-baru ini.

“Saya tidak menerima laporan mengatakan pelajar terlibat demonstrasi tempoh hari dikenakan tindakan sehingga mereka dibuang kolej. Ini bermakna dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, pihak pengurusan tidak memecat sebaliknya hanya melucutkan jawatan timbalan dekan terbabit.

“Dalam mana-mana kolej atau universiti, kakitangan termasuk pensyarah tidak boleh menyertai demonstrasi kerana mereka tertakluk pada etika kerja. Kita masih mengekalkan beliau dalam Kuin, cuma diberikan jawatan lain,” katanya.

Menurutnya, Mohd Idrus tidak lagi memangku jawatan sebagai timbalan dekan, namun masih merupakan kakitangan Kuin dan harus mematuhi peraturan kolej.

“Jawatan itu pula bukan kekal, sebaliknya ditukar setiap dua tahun. Ia pertukaran biasa dalam Kuin. Namun khidmatnya terpaksa ditamatkan lebih awal walaupun belum cukup dua tahun kerana disabitkan dengan tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Azizan berkata, tidak seorang pun kakitangan mahupun pelajar Kuin dikenakan tindakan disiplin seperti memberhentikan khidmat mereka atau dibuang kolej gara-gara terbabit dalam demonstrasi itu.

Pada 1 April lalu, lebih 100 tenaga pengajar dan pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran Kuin mengadakan demonstrasi bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Kuin termasuk Menteri Besar.

Demonstrasi selepas solat Jumaat di pekarangan Kolej Kediaman Ar-Raziy itu diadakan bagi membantah tindakan pengurusan kolej mengambil alih sebahagian besar bangunan Maahad Tahfiz untuk dijadikan Sekolah Bestari.

Namun, Azizan sebelum ini menegaskan tiada surat pekeliling dikeluarkan berhubung pemindahan pelajar tahfiz Kuliyyah Al-Quran bagi menempatkan Sekolah Bestari di bangunan Maahad Tahfiz Negeri Kedah.

Azizan percaya maklumat palsu itu didalangi pihak tertentu.

0 comments:

Post a Comment