Wednesday, April 6, 2011

685 anak Kedah dibiayai pulang ke Mesir

685 anak Kedah dibiayai pulang ke Mesir

ALOR SETAR, 4 Mac 2011 – Seramai 833 orang pelajar-pelajar Kedah telah dibawa pulang oleh kerajaan pusat dalam Ops Piramid berikutan berlakunya rusuhan di Mesir baru-baru ini. Dari jumlah tersebut, seramai 685 orang telah ditanggung pembiayaan penghantaran semula ke Mesir oleh kerajaan negeri.

Kenyataan tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul bagi menjawab soalan ADUN Kubang Rotan, YB Nasir Mustaffa.

YB Nasir telah mengemukakan tiga soalan berkaitan penghantaran pulang pelajar-pelajar Kedah ke Mesir yang melibatkan jumlah, kos dan agensi penyumbang sumbangan.

Bercakap di dalam Mesyuarat Kali Ketiga, Penggal Persidangan Yang Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Negeri Darul Aman, YB Dato’ Taulan menegaskan 685 pelajar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1,858,500.

“Kos penghantaran seorang pelajar berjumlah RM2600 termasuk RM2100 tambang dari Kuala Lumpur ke Mesir dan RM500 untuk duit saku,” katanya.

Pembiayaan tersebut hanyalah melibatkan pelajar-pelajar di bawah Yayasan Islam Kedah, Jabatan Zakat Negeri Kedah dan pelajar-pelajar persendirian. Kerajaan negeri tidak menanggung kos pelajar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana mereka mempunyai peruntukan untuk tujuan tersebut. Sementara itu pelajar-pelajar yang pulang sebelum berlakunya rusuhan juga tidak termasuk dalam pembiayaan kerajaan negeri, tambahnya,

“Kos pembiayaan tersebut disumbang oleh beberapa GLC, antaranya SADA, PKNK, BDB, Kumpulan Ladang Corporation, Yayasan Islam dan MBI,” terang Dato’ Taulan.

Menyentuh soalan tambahan dari ADUN Belantik, YB Tajudin Abdullah yang mengatakan terdapat pelajar yang tercicir dari mendapat wang saku sumbangan kerajaan negeri iaitu Amirah Abd Hamid dari DUN Belantik. Beliau bertanya adakah sumbangan tersebut tidak menyeluruh dan terdapatnya unsur pilih kasih?

Menjawab soalan tersebut Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak menegaskan pelajar tersebut pulang ke Malaysia sebelum Ops Piramid dilancarkan dan tidak termasuk di dalam senarai pembiayaan kerajaan negeri.

Berlaku sedikit kelucuan apabila ADUN Bakar Bata, YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanifah membidas bidalan yang dikeluarkan oleh YAB Dato’ Seri mengenai tindakan kerajaan pusat ibarat upah beruk panjat kelapa yang dibayar ketika naik dan tidak dibayar ketika turun.

Kekeliruan tersebut berlaku apabila YAB Dato’ Seri mempertikaikan usaha kerajaan pusat mengambil pulang pelajar-pelajar dari Mesir tetapi tidak mengambil tanggungjawab untuk menghantar semula terutama di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

“Mereka pandai ambil tapi tidak mahu hantar pulang, macam orang upah beruk naik nyok (kelapa), naik dibayar tapi turun tidak dibayar,” katanya disambut dengan ketawa oleh hadirin.

0 comments:

Post a Comment