Monday, January 17, 2011

B Kedah tinjau perkembangan Kampus Insaniah

MB Kedah tinjau perkembangan Kampus Insaniah
Isnin, 17 Januari 2011 12:00 | Ditulis oleh AMIN A | | |


KUALA KETIL: Tidak betah duduk diam mahupun sekadar mendengar berita semata, Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan sentiasa turun padang untuk memastikan segala projek kerajaan berjalan lancar dan siap seperti yang ditetapkan.

Terbaru, beliau melawat Tapak Kampus Baru Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil, 13 Januari lalu untuk sekian kalinya bagi mendapatkan perkembangan mutakhir projek yang dijangka siap 2012 nanti.

Beliau turut diberi taklimat penuh oleh Pengarah JKR Negeri Ir. Rosland Abd. Ghani.yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Wira Haji Rasli Basir; Pegawai Kewangan Negeri Dato' Haji Mohd. Puat bin Haji Mohd. Ali dan Rektor KUIN Prof Dato' Dr Jamil Osman

Hadir sama, Adun-adun terdiri Zuki Yusuf, Johari Abdullah, Yahya Abdullah, Pegawai Daerah Baling ,para pensyarah KUIN termasuk dari Al Azhar dan sebahagian pelajar KUIN bagi melihat sendiri pembangunan demi untuk keselesaan bersama.

Biarpun dibakar terik mentari kira-kira jam 3.00 petang, ianya sama sekali tidak menghalang Ustaz Azizan dan pasukan pegawai kerajaan melawat lokasi tapak kampus yang masih dalam pembinaan.

Kerja-kerja pembinaan telah mencapai 10 peratus seperti yang dijadualkan dan Kampus ini di jangka mula beroperasi pada Mac tahun 2013.

Terkini, KUIN menawarkan 43 program termasuk bidang-bidang pengajian Islam, Bahasa Arab, Kejuruteraan, Kejururawatan, Multimedia dan yang terbaru ialah bidang perubatan dan pelancongan.

Hasilnya, di samping pembangunan pesat dalam bidang pendidikan, Kuala Ketil bakal muncul sebagai sebuah bandar baharu seperti Bandar Baru Bangi bagi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sintok, bagi Universiti Utara Malaysia.

Sebelum ini keberanian lebih 2,000 penuntut Kolej Universiti Insaniah (KUIN) melakukan tunjuk perasaan di Dewan Kolej berkenaan 11 Januari lalu mendapat pujian daripada Ustaz Azizan.

Katanya demonstrasi penuntut itu sekaligus membuktikan bahawa demokrasi dan kebebasan hak bersuara di negeri ini, sentiasa terpelihara.

Menurut Ustaz Azizan, mereka tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan dan Kerajaan Negeri memahami pendirian mereka kerana kampus baru KUIN sedang dibina di Kuala Ketil dan dijangka siap tahun hadapan

Sungguhpun begitu Kerajaan Negeri tetap memberi penekanan agar rakyat negeri ini menguasai ilmu pengetahuan bagi melahirkan insan yang cemerlang dan bertakwa.

Dan untuk itu, Kerajaan sentiasa berusaha menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat negeri ini melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi di dalam negeri dan komitmen ditunjukkan melalui kesungguhan kerajaan negeri menyiapkan Kampus KUIN.

0 comments:

Post a Comment