Tuesday, November 16, 2010

Korban YB Ustazah di UPU Pkn Merbau Pulas

Korban sumbangan Kerajaan Negeri melalui YB Ustazah Aishah akan diadakan mengikut Zon di lima Zon Dun Merbau Pulas.
UPU Pkn. Merbau Pulas akan mengadakan Sembelihan Qurban pada Hari Raya Pertama bertempat di Surau Kg. Permatang Durian

Monday, November 15, 2010

Bajet 2011 Kedah realisasi 'Rakyat Sejahtera'

15 NOVEMBER 2010
Bajet 2011 Kedah realisasi 'Rakyat Sejahtera'
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 15 Nov: Bajet 2011 Kedah terus mengutamakan kepentingan rakyat apabila menggariskan empat matlamat besar iaitu merangsang pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat, meningkatkan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan dan memperkasakan tadbir urus pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membentang Bajet 2011 itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, petang semalam untuk kali ketiga sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri .

Persidangan bajet ini diadakan selepas negeri itu baru sahaja dilanda bencana banjir yang cukup luar biasa dan yang turut mengundang suara-suara sumbang pihak yang cuba menafikan usaha dan pengorbanan kerajaan negeri dalam menangani permasalahan itu.

Bajet tersebut juga memperuntukkan RM2.65 juta bagi membantu keluarga miskin tegar melalui beberapa program bantuan.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek perumahan rakyat di atas tanah milik kerajaan negeri di Bandar Tunku Puteri, Batu 4 Tandop, Kampung Kilat, Kampung Berjaya, Kampung Telok Yan dan Kuala Ketil.

Selain itu projek perumahan untuk keluarga miskin di Yan melibatkan 100 unit rumah yang selesa di atas tanah milik kerajaan turut akan disiapkan.

Sejumlah RM6.5 juta juga diperuntukkan kepada projek-projek kecil di semua kawasan DUN bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Manakala RM2.75 juta disediakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah kos rendah.

Untuk membela golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan bencana alam, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM14.5 juta.

Elaun sara hidup kepada rakyat miskin yang layak juga , dinaikkan daripada RM75 kepada minimum RM150 sebulan, sementara skim Kafalah diteruskan dengan peruntukkan sebanyak RM3.6 juta.

Antara peruntukan lain yang dibentangkan adalah seperti berikut:

- RM13 juta kepada program pembangunan pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran termasuk tanaman jagung, nanas dan tanaman kontan.

- RM5 juta untuk memajukan industri ternakan dan perlaksanaan inisiatif baru bagi meningkatkan perkhidmatan klinik dan penyediaan ruang penjagaan binatang peliharaan di Jabatan Veterinar Alor Setar.

- RM5.5 juta akan dibelanjakan untuk meningkatkan sistem pengairan kawasan sawah padi di Kurung Hitam, Lembah Bata, Sidam Kanan, Kota Kuala Muda dan Langkawi.

- Peruntukkan RM3.5 juta akan dikhususkan untuk program tebatan banjir di beberapa lokasi yang bakal dipilih.

- RM500 ribu untuk membina pusat pengumpulan dan pemasaran buah-buahan dan produk hasil pertanian di Sik, Bandar Baharu dan Pokok Sena yang akan memberikan faedah secara langsung kepada penjual, pemborong dan pembeli buah-buahan tempatan.

- Memperuntukkan RM4 juta bagi membina ruang niaga di lokasi yang strategik untuk menambah bilangan usahawan bumiputera di dalam bandar.

- Menambahbaik rangkaian jalan raya, melebarkan jambatan dan menaik taraf jalan-jalan negeri dengan peruntukkan sebanyak RM69 juta.

- RM2.9 juta untuk memelihara kualiti air sungai, program pemulihan akibat banjir dan perbelanjaan luar jangka akibat bencana alam.

- RM1.5 juta untuk melaksanakan inisiatif baru bagi menyuburkan perpaduan kaum dan mengeratkan hubungan kaum melalui program secara berjadual.

- Sejumlah RM10 juta disediakan bagi membiayai sebahagian kos tanah dan kerja awalan projek pembinaan kampus tetap KUIN di Kuala Ketil.

- RM9.5 juta bagi membiayai kos operasi KUIN termasuk mewujudkan dua bidang pengajian baru iaitu perubatan dan perhotelan.

- RM30 juta untuk memperkasakan Maktab Mahmud dengan kemudahan prasarana dan pembelajaran.

- Tabung pinjaman pendidikan berjumlah RM2.2 juta kepada anak-anak Kedah yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

- RM14.1 juta diperuntukkan untuk membiayai kos operasi, elaun guru, bahan pembelajaran dan program pembangunan insan di peringkat pendidikan rendah.

- RM3.5 juta untuk menubuhkan sebuah pusat latihan dan aktiviti belia di Sungai Petani.

- Memberikan elaun RM200 sebulan kepada Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) mulai Januari 2011.

- RM4.2 juta untuk mempertingkatkan program pembangunan sukan bagi persediaan atlet ke Sukan Malaysia di Bukit Jalil pada 2011 nanti.

- RM202.8 juta untuk pembayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri dan kenaikan gaji tahunan seperti yang ditetapkan.

- Sejumlah RM1.2 juta disediakan untuk program pembangunan insan dan latihan kakitangan bagi memantapkan perkhidmatan.

- RM800 ribu diperuntukkan bagi membiayai bil rawatan kakitangan kerajaan yang ditimpa penyakit kronik dan kritikal.

Sunday, November 14, 2010

MB KEDAH sumbang RM10 ribu setiap keluarga mangsa mati lemas

14 NOVEMBER 2010
MB KEDAH sumbang RM10 ribu setiap keluarga mangsa mati lemas
Ditulis oleh AZMAN AHMAD
ALOR SETAR, 13 November – YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan meluangkan masa menziarahi dua keluarga kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.

Bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Mayat Nur Irshah telah dijumpai manakala Awwad Hakimi yang dipercayai turut lemas masih belum dijumpai.

YAB Menteri Besar melahirkan rasa simpati dan menasihati kedua-dua keluarga supaya bersabar.

Seterusnya YAB Menteri Besar menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM10 ribu setiap keluarga.

YAB Dato Seri Ustaz Azizan seterusnya menziarahi satu lagi keluarga yang kehilangan dua anak sekaligus di Kampung Telaga Emas, Daerah Pokok Sena.

Dua beradik yang dikhuatiri lemas terseut telah dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1 tengah hari dan 2 petang hari berikutnya.

Mayat Sharifah Syukor, 8, dijumpai kira-kira pukul 1 tengah hari manakala mayat kakaknya, Siti Nadia Syukor, 13, dijumpai sejam kemudian.

Dalam kejadian tersebut, dua beradik itu dikatakan membonceng motosikal yang ditunggangi oleh kawan mereka, Intan Malik, 14.

Ketika mereka melalui jalan batas ban tali air di kampung itu, tiba-tiba air beralun kuat menyebabkan Intan yang membawa motosikal tersebut tidak dapat mengawal kenderaan itu menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus.

YAB Menteri Besar turut malahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan RM10 ribu kepada bapa mangsa daripada Kerajaan Negeri.

Keluarga terakhir yang di ziarahi adalah keluarga seorang lelaki kurang siuman dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun ke dalam sebuah sungai berhampiran wat Siam di Jitra.

Mangsa, Ahmad Hamizan Ahmad Suhaimi, 24, dari Taman Seri Utama di sini dikatakan terjun ke dalam sungai itu kira-kira 12.15 tengah malam dan dilihat oleh orang awam.

Orang awam terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu kerana mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa disebabkan arus sungai tersebut deras.

YAB Ustaz Azizan meluangkan masa bersama keluarga mangsa yang masih bersedih diatas kehilangan ahli keluarga. YAB Menteri Besar seterusnya menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM10 ribu.