Sunday, November 14, 2010

MB KEDAH sumbang RM10 ribu setiap keluarga mangsa mati lemas

14 NOVEMBER 2010
MB KEDAH sumbang RM10 ribu setiap keluarga mangsa mati lemas
Ditulis oleh AZMAN AHMAD
ALOR SETAR, 13 November – YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan meluangkan masa menziarahi dua keluarga kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.

Bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Mayat Nur Irshah telah dijumpai manakala Awwad Hakimi yang dipercayai turut lemas masih belum dijumpai.

YAB Menteri Besar melahirkan rasa simpati dan menasihati kedua-dua keluarga supaya bersabar.

Seterusnya YAB Menteri Besar menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM10 ribu setiap keluarga.

YAB Dato Seri Ustaz Azizan seterusnya menziarahi satu lagi keluarga yang kehilangan dua anak sekaligus di Kampung Telaga Emas, Daerah Pokok Sena.

Dua beradik yang dikhuatiri lemas terseut telah dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 1 tengah hari dan 2 petang hari berikutnya.

Mayat Sharifah Syukor, 8, dijumpai kira-kira pukul 1 tengah hari manakala mayat kakaknya, Siti Nadia Syukor, 13, dijumpai sejam kemudian.

Dalam kejadian tersebut, dua beradik itu dikatakan membonceng motosikal yang ditunggangi oleh kawan mereka, Intan Malik, 14.

Ketika mereka melalui jalan batas ban tali air di kampung itu, tiba-tiba air beralun kuat menyebabkan Intan yang membawa motosikal tersebut tidak dapat mengawal kenderaan itu menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus.

YAB Menteri Besar turut malahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan RM10 ribu kepada bapa mangsa daripada Kerajaan Negeri.

Keluarga terakhir yang di ziarahi adalah keluarga seorang lelaki kurang siuman dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun ke dalam sebuah sungai berhampiran wat Siam di Jitra.

Mangsa, Ahmad Hamizan Ahmad Suhaimi, 24, dari Taman Seri Utama di sini dikatakan terjun ke dalam sungai itu kira-kira 12.15 tengah malam dan dilihat oleh orang awam.

Orang awam terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu kerana mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa disebabkan arus sungai tersebut deras.

YAB Ustaz Azizan meluangkan masa bersama keluarga mangsa yang masih bersedih diatas kehilangan ahli keluarga. YAB Menteri Besar seterusnya menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM10 ribu.

0 comments:

Post a Comment