Monday, October 18, 2010

Air: Umno takut penyelewengan terbongkar

Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 18 Okt: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah membidas Umno negeri yang cuba menjadi juara dalam memburukkan kerajaan negeri setelah penyelewengan dalam isu air didedahkan.

Katanya, kenaikan tarif air di negeri Kedah adalah suatu pelarasan yang telah dilakukan setelah 17 tahun lalu bagi menampung kos yang semakin meningkat dalam pengurusan air tersebut.

Pada akhir September yang lalu Syarikat Bekalan Air Darul Aman (Sada) telah mengumumkan kenaikan tarif air di negeri Kedah setelah mendapat kelulusan dari Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat melalui Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air dan Kadar Bekalan Air Negeri Kedah 2010 telah menetapkan tarif air ini. Mereka juga yang memberi kelulusan terhadap kenaikan ini.

"Oleh kerana itu Umno tidak harus menuding jari kepada Kerajaan Negeri. Sebenarnya mereka takut penyelewengan yang telah mereka lakukan terbongkar," ujarnya lagi ketika menyampaikan ceramah isu semasa di markas PAS Kampung Pelet, Penanti, kelmarin.

Amiruddin yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, antara penyelewengan yang telah dikenal pasti berlaku ialah kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai.

Bagi projek pembinaan di Lubuk Buntar kos sebenar adalah dalam lingkungan antara RM25 juta hingga RM30 juta sahaja. Namun begitu apa yang tertera ialah peningkatan mendadak sehingga RM65 juta.

Kos pembinaan loji pembersihan di Padang Sanai pula apa yang menjadi kesangsian ialah kos yang sebenarnya antara RM50 juta hingga RM60 juta, telah melambung sehingga RM155 juta.

"Ini semua adalah antara penyelewengan yang berlaku semasa Kerajaan Negeri belum dikuasai oleh Pakatan Rakyat lagi. Oleh kerana itu kita amat mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap adil dan cekap dalam menangani masalah ini setelah ianya dipaparkan melalui pelbagai sumber dan saluran," tegasnya lagi.

0 comments:

Post a Comment