Wednesday, April 7, 2010

Ribut musnahkan 200 rumah







KUALA KETIL - Beberapa kawasan di sekitar sini digemparkan dengan kejadian ribut malam kelmarin sekali gus memusnahkan kediaman penduduk dan mengakibatkan kerugian kepada mangsa.

Kejadian ribut yang kelihatan seperti puting beliung itu memusnahkan 201 rumah berdasarkan laporan yang dibuat di balai polis dan pejabat daerah dan masih menunggu jumlah yang tepat mengenai kemusnahan yang dianggarkan mencecah 250 rumah.

Kebanyakan rumah mengalami kemusnahan bumbung yang terbang dibawa angin, manakala terdapat beberapa rumah yang musnah akibat dihempap pokok besar serta beberapa kereta turut menjadi mangsa ribut.

Kejadian itu berlaku sekitar jam 7.15 minit malam di mana angin yang kuat dan guruh beserta hujan lebat.

Sementara di Taman Desa Bidara, lebih 69 rumah dilanda ribut menyebabkan kerosakan teruk apabila sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin dan air melimpah masuk dan merosakkan perabut rumah.

Seorang penduduk, Azimah Mohd Aziz,36, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak untuk persediaan makan malam.

“Saya terdengar bunyi guruh disusuli angin kuat kemudian berlari membawa anak masuk ke dalam bilik.

“Dalam sekelip mata saya melihat bumbung rumah terbang menyebabkan air hujan masuk dan merosakkan perkakas rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Dia berkata, ini kejadian yang paling buruk berlaku di taman itu kerana hampir keseluruhan rumah penduduk mengalami kerosakan teruk apabila bumbung diterbangkan angin.

“Air melimpah masuk ke dalam rumah menyebabkan banyak barang yang rosak kerana tidak sempat diselamatkan, bagaimanapun saya bersyukur tidak ada kecederaan berlaku,” katanya.

Zuraidah Md Zain,38, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah dan terkejut apabila melihat bumbungnya tercabut berikutan angin yang kuat.

Menurutnya, angin kuat berlaku kira-kira 30 minit menyebabkan kenderaannya mengalami kerosakan apabila ditimpa sebatang besi setelah bumbung rumahnya terbang dibawa angin.

“Malah bumbung rumah diruang tamu dan dapur turut tercabut serta terjatuh ke dalam rumah menyebabkan banyak barangan yang rosak teruk,” katanya yang sudah membuat laporan polis di balai Pekan Kuala Ketil, pagi semalam.

Yap Yee Fook,70, berkata, ketika angin kuat itu, dia berada di luar rumah dan melihat awan mendung dan guruh..

“Saya melihat kelompok hitam berpusing dan menerbangkan bumbung rumah.

“Mujur ketika kejadian, tidak ada sesiapa di ruang dapur walaupun ruang itu musnah teruk dihempap kayu,” katanya.

Di Kampung Pekan Baru, beberapa rumah turut mengalami kemusnahan.

Muhaimin Azfar Jamzakri, 21, berkata, ketika kejadian dia dan dua orang rakannya berada di luar rumah.

Menurutnya, kemunculan angin menyebabkan dia dan rakan bergegas masuk ke rumah sebelum pohon yang besar tumbang ke arah rumahnya yang didiami bersama neneknya, Puteh Osman, 62.

“Saya terkejut kerana angin begitu kencang dan mengajak kawan masuk ke dalam rumah dan melihat pokok menghempap motosikal rakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.


Di kampung Tanjung Puteri, sebanyak lapan rumah mengalami kerosakan.

Pegawai Daerah Baling, Ahmad Fisol Md Noor berkata, kejadian yang teruk seperti ini tidak pernah berlaku di daerah ini.

Menurutnya, antara kampung lain yang terlibat ialah Kampung Sisik Lantai, Kampung Kubang Hong, Taman Haji Muslim, Kampung Pak Kuning dan beberapa kampung lagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau bersimpati dengan kejadian itu dan bantuan yang diberikan semalam merupakan antara bantuan awal daripada pejabat Menteri Besar.

“Kita bersimpati dengan mangsa yang terlibat dan membantu menyalurkan bantuan segera termasuk bekalan makanan dan mengarahkan bantuan segera untuk menutup bumbung rumah bagi mengelakkan air masuk.

“Buat sementara kita mengambil inisiatif menutup bumbung dengan plastik sementara menunggu bantuan daripada beberapa agensi termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat daerah.

“Bencana kali ini melibatkan banyak rumah menyebabkan agensi kerajaan terpaksa membuat bancian terperinci supaya bantuan dapat disalurkan secepat mungkin,” katanya.

“Selain itu, bantuan akan diberikan secepat mungkin memandangkan sekarang musim hujan.

“Kita masih menunggu laporan daripada pihak berwajib dan akan memberi bantuan yang termampu memandangkan ramai penduduk memerlukan tempat berteduh dengan segera.

Beliau berkata ketika Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Mangsa Ribut di perkarangan Pejabat Daerah Baling, Kuala Ketil yang disempurnakannya serta merta selepas mendapat berita itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kepada mangsa ribut bahawa kejadian yang berlaku merupakan satu ujian dan berharap mereka tabah mengharunginya.

1 comments:

Steffi said...

What an exciting experience!/Hilarious! Delightful! True!/wonderful stuff! thank you!

Merbau

Post a Comment