Monday, March 1, 2010

Teknologi tinggi jadi pemangkin ekonomi Daerah Kulim

Teknologi tinggi jadi pemangkin ekonomi Daerah Kulim
Oleh: AMELIA HASHIM

KULIM: Dahulu Kulim adalah bandar ketiga terpenting di Kedah selepas Alor Setar dan Sungai Petani. Peredaran masa dan lonjakan pembangunan telah mengangkat Kulim menjadi daerah industri utama di Kedah dan yang pertama di Malaysia mempunyai industri teknologi tinggi iaitu Kulim Hi-Tech Park.


“Pelaburan dari luar negara telah menumbuhkan kilang-kilang berteknologi tinggi yang membuka ribuan peluang pekerjaan. Bukan sahaja kepada anak negeri Kedah tetapi juga pihak luar. Justeru itu pertambahan penduduk di daerah ini berlaku dengan begitu pesat sekali,” kata Pegawai Daerah Kulim Dato’ Haji Abdul Rahman Ahmad.

Namun begitu, Kulim tidak ada masalah dari segi perumahan bagi menampung keperluan pekerja-pekerja dari luar baik dari seluruh Malaysia dan dari luar negara.

Banyak taman-taman perumahan dibuka bagi memenuhi keperluan semasa. Daerah ini mempunyai tanah
yang luas dan adalah dianggarkan cukainya mencapai RM20.3 juta bagi tahun ini.

Bagaimanapun setakat ini cukai yang berjaya dikutip hanya sebanyak RM13.2 juta. Sebagai Pegawai Daerah, beliau menyeru pemilik-pemilik tanah supaya menbayar cukai dengan teratur mengikut tahun supaya tidak ada tunggakan.

Pembangunan industri yang menjana pembangunan ekonomi di daerah ini bertepatan dengan nama Kulim itu sendiri. Kulim mengikut sejarah diberi nama sempena pokok kulim atau dalam istilah saintifiknya scorocopus becc borneesis. Spesis yang banyak tumbuh di Malaysia dan negara-negara Asean. Pokok ini berbuah seperti durian mengikut musim. Kayu pokok kulim pula harganya pernah RM270.00 per meter pada tahun 1997.

Sebagai bandar industri Kulim mempunyai kemudahan yang menepati ciri-ciri keperluan asas seperti jalan perhubungan yang baik. Rangkaian jalan raya Lebuhraya Kulim ke Butterworth menjadi asas utama memikat pelabur untuk datang melabur di Kulim.

Lebuhraya ini mempunyai dua susur keluar iaitu di Kubang Semang dan Jejawi. Bandar Kulim juga mempunyai stesen bas yang besar dengan dua terminal iaitu domestic dan antara bandar. Terminal bas ini pula letaknya di hadapan sebuah tasik buatan dengan keindahan landskap yang menarik.

Daerah Kulim adalah cantuman dari lima belas mukim iaitu Junjung, Kulim, Keladi, Sungai Seluang, Terap, Bagan Sena, Karangan, Sungai Ular, Padang China, Nagalilit, Sedim, Sidam Kanan, Padang Meha, Mahang dan Lunas. Mukim-mukin ini ditadbir oleh 13 Penghulu. Mukim Nagalilit dan Padang Cina masih terdapat kekosongan jawatan Penghulu. Menerusi pejabat penghulu aktiviti penduduk digerakkan seperti program K-Bestari dan lain-lain.

Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulim, Encik Norizan Khazali, semua program disusun bertujuan mendekati rakyat dan untuk mengetahui masalah mereka.

Dengan ini memudahkan kerajaan melaksanakan projek-projek memenuhi keperluan mereka bagi mencapai matlamat untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya lagi, dalam melaksanakan projek-projek untuk rakyat, Kulim bebeza dengan daerah lain. Ini kerana daerah ini membuat perancangan awal dengan mewujudkan Rancangan 5 Tahun Daerah Kulim; 2010 sehingga 2014.

Boleh dikatakan semua projek yang dirancang adalah memenuhi keperluan rakyat seperti pembinaan dan perbaikki jambatan, masjid, longkang, lampu jalan luar bandar, klinik desa, gerai-gerai perniagaan dan pondok menunggu bas.

0 comments:

Post a Comment