Thursday, March 4, 2010

Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Bagi Memantau GLC

Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Bagi Memantau GLC
Disediakan oleh: Faiz Hj. Othman

ALOR SETAR, 3 Mac 2010 – Satu Jawatankuasa Khas bakal ditubuhkan bagi memantau dan mengkaji semula status GLC. Cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut telah diajukan dalam mesyuarat exco pagi tadi yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah.

Jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu akan mengkaji sejauh mana perjalanan anak syarikat milik kerajaan negeri ini berjalan mengikut spesifikasi yang betul serta memberikan keuntungan dan pulangan kepada pihak kerajaan negeri. YAB Dato’ Seri bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Puat Mohd Ali, Pegawai Kewangan Negeri Kedah serta dua orang lagi ahli jawatankuasa, YB Tuan Anas Ahmad Zakie, BCK, Penasihat Undang-undang Negeri Kedah dan Dato’ Wira Syed Zin Abdullah, bekas Pegawai Kewangan Negeri Kedah. Jawatankuasa khas ini akan mengkaji berhubung kewangan syarikat GLC dan aspek perundangan yang melibatkan penubuhan syarikat serta bidang tugas mereka.

Menurut beliau, buat masa ini, terdapat beberapa GLC yang mempunyai kelemahan dalam tadbir urus syarikat dengan baik. Ujar beliau, GLC yang tidak mencapai sasaran atau tidak menunjukkan prestasi yang baik mungkin akan diberhentikan operasi atau diperbetulkan mana-mana kekurangan yang boleh dibaiki.

Dalam perkembangan lain, YAB Dato’ Seri turut mengulas spekulasi berhubung rombakan exco yang mungkin akan berlaku dalam kerajaan negeri dalam tempoh beberapa hari lagi. Tambah beliau, “Mungkin akan berlaku rombakan portfolio dan pertukaran ini hanya pertukaran kecil”. Perubahan yang berlaku ini atas pemerhatian YAB Dato’ Seri selama 2 tahun memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah sebagai Menteri Besar dan perkara ini beliau melihatkan kepada kesesuaian individu itu memegang portfolio yang akan diumumkan kelak.

0 comments:

Post a Comment