Thursday, March 11, 2010

Demontrasi Isu Air... Nak Jadi Hero atau Buka Pekung Di Dada?

11 March 2010
Demontrasi Isu Air... Nak Jadi Hero atau Buka Pekung Di Dada?


Penulis Tamu - Muhammad Sanusi Md Nor

Petang tadi ada kawan foward sms mengajak orang ramai berdemontrasi depan wisma pagi esok atas isu air, kata mereka, Kedah ada 4 empangan besar, tapi air sering tak ada, kotor dan keruh. Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang baru diwujudkan sebagai badan pelaksana/operator di negeri Kedah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diterjemahkan sebagai "Syarikat Air Dato' Azizan". Maka diseru orang ramai bawa baldi dan timba untuk diserahkan kepada YAB MB esok.
.

Seingat saya, sejak awal mengambil alih kerajaan ini YAB telah mengutarakan isu yang sangat besar untuk diangkat oleh kerajaan dan rakyat Kedah iaitu: Kedah harus dibayar RM100 juta setahun atas pengorbanan kerajaan dan rakyat menyediakan bekalan air bagi kegunaan pertanian di utara semenanjung. Ia disebut Carbon Money atau Payment Of Environment Sevices (PES). Dengan air yang ditakung dalam empangan di Kedah, yang ditadah oleh hutan-hutan yang tidak diusik di negeri ini, maka sektor pertanian khususnya padi dapat ditanam 2 kali setahun di kawasan MADA Kedah dan Perlis hingga Pulau Pinang. Air Kedah juga menjadi sumber kegunaan domestik dan industri di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Hasil dari pertanian dan industri ini kebanyakannya mengalir kepada Kerajaan Pusat dalam bentuk cukai dan penyumbang kepada KDNK.
.
Kedah menjadi jelapang padi kerana tadahan air ini, Pulau Pinang berjaya mengangkat Syarikat Pengurusan Bekalan Airnya ke papan Utama Bursa Malaysia kerana sumber Air Kedah. 63% beras untuk rakyat Malaysia datang dari jelapang padi yang disalirkan oleh air Kedah. Maka, pengorbanan rakyat Kedah untuk negara harus dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan peruntukan RM100 juta setahun. Tapi tak ramai rakyat Kedah bangkit menyokong tuntutan ini. Masa BN memerintah dulupun, tuntutan ini tidak diperjuangkan sepenuhnya, walaupun dari satu bakul politik yang sama.
.
Timbalan Menteri Pertanian & Asas yani dari Jitra yang kurang cermat itu tiba-tiba membuat kenyataan menghentam Kerajaan Negeri akibat isu air dengan berkata walaupun kemarau bertahun-tahun, bekalan air di Kedah tak akan terjejas kerana Kedah banyak empangan. Dia terlupa empangan itu untuk pengairan pertanian yang dibawah kementeriannya. Alangkah malangnya kementerian itu!
.
Minggu sudah, SADA memohon JPS melepaskan takungan dalam Empangan Beris ke Sungai Muda kerana banyak( inlet) rumah pam sudah tergantung kerana air sungai surut kerana kemarau. Akibat kepanasan yang melampau, berlaku banyak kehilangan air proses pemeluapan dan NRW (Non Reveniew Water). Rumah pam dan tangki SADA sudah beroperasi pada tahap maksimum, kalau ditambah lagi pressure ke atas kelengkapan ini, ia boleh rosak sepenuhnya.
.
Ini musim kemarau! Negeri-negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan sudah melaksanakan catuan air. Syabas di Selangor adalah antara operator air terbaik negara waktu ini juga menghadapi masalah hingga terpaksa mencatu bekalan air. 20 liter padu pertama air di Selangor adalah percuma.
.
Masalah air di Kedah sekarang tidak ada sangkut paut dengan kelemahan pengurusan kerajaan sekarang ataupun kelemahan 'Syarikat Air Dato' Azizan'. Ia bersangkut dengan musim kemarau panjang di seluruh negara.
.
Johor adalah negeri kelahiran UMNO, kalau parti itu cekap, mengapa Johor juga menghadapi krisis, sedangkan operatornya juga antara yang terbaik waktu ini, dan Johor adalah pembekal air kepada Singapura? Negeri 9 tidak diperintah oleh selain dari BN, tetapi kena mencatu air sekarang. Maka, tak perlulah menyalahkan siapa jadi parti pemerintah sekarang kerana parti tak boleh mengawal cuaca. Kemarau dicipta oleh Yang Maha Pencipta, Pemilik Dunia ini.
.
Kalau nak juga menyalahkan parti juga, saya ingin katakan semua prasarana dan infra air di Kedah sekarang dibuat di zaman BN, dengan jumlah hutang RM1.6 bilion kepada kerajaan pusat. Banyak paip sudah berkarat dan sering pecah. Malah, prasarana dan infrastruktur air yang sepatutnya berada 5 tahun dihadapan unjuran keperluan air domestik, kini sedang berada di belakang! Bijakkah parti dulu itu?
.
Bekalan dan pengurusan air di Langkawi yang diswastakan kepada sebuah syarikat kroni MCA mendatangkan kerugian kepada kerajaan negeri hampir 20 sen bagi setiap liter. Hingga 2020, unjuran kutipan hasil tahunan ialah RM35 juta, tetapi kerajaan kena bayar kepada syarikat itu lebih RM70 juta setahun. Cerdik kah parti yang memerintah dulu itu?
.
Silalah datang berdemontrasi esok dan jeritlah kelemahan kerajaan sekarang kalau mahu didedahkan lagi kelemahan dan kepincangan orang dulu-dulu. Dan berharap lah dengan bersungguh-sungguh timba dan baldi yang dijinjing itu dapat menamatkan musim kemarau sekarang. Jangan dipecahkan pula, nanti baldi itu boleg diguna untuk menimba air yang melimpah ke dalam bilik tidur kerana banjir! Orang Jitra yang jadi Timbalan Menteri tu suruh lepaslah air di semua empangan untuk minum, memasak dan membasuh, sawah bendang tak akan kering kontang, kerana Dato' adalah Timbalan Menteri yang bijaksana! Kerajaan Pusat, bayarlah RM100 juta atas pengorbanan rakyat Kedah, prasarana akan lebih baik, Kedah akan Sejahtera.....


Penulis Tamu - Muhammad Sanusi Md Nor

0 comments:

Post a Comment