Wednesday, March 31, 2010

Bayangkan ... tahun 2009 sahaja 17,303 anak luar nikah Melayu

Posted on Tuesday, March 30 @ 07:02:43 PDT by paktam

Oleh DINSMAN


"17,303 anak luar nikah didaftar 2009". Terpampang sebuah tajuk berita di muka depan sebuah akhbar harian, 21 Mac 2010. (Biasanya saya tak baca akhbar harian, tapi hari itu pagi-pagi lagi ada kawan SMS tarik perhatian).

Cerita anak luar nikah bukanlah cerita baru. Ia cerita lama yang lama sudah tak menarik lagi untuk jadi bahan berita. Saya pun pada mulanya enggan beri perhatian. Tapi kemudian ada kawan lain lagi menghantar mesej atas isu itu, dan mengemukakan pandangan agar Budayawan Bertindak pun turut berikan perhatian.


17,303 anak luar nikah orang Melayu Islam! Nah, kalau bukan satu tamparan kuat di muka kita orang Melayu Islam, apakah pula namanya itu? Ia bukan angka reka-rekaan atau agak-agakan. Ia angka rasmi yang dikeluarkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dato' Alwi Ibrahim.

Dan bilangan itu, katanya, meningkat 762 orang berbanding tahun sebelumnya - 16,541, manakalatahun 2007 seramai 16,100. Dalam tempoh lima tahun lalu, katanya lagi, jumlahnya seramai 74,723kes/orang.

Itu angka rasmi kes-kes yang didaftarkan di JPN, sebagai anak luar nikah atau "anak tidak sahtaraf". Tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta kes-kes anak luar nikah yang tidak didaftar. Difikir-fikirkan - tentulah banyak lagi yang tak mendaftarkan anak luar nikah mereka.

Kata Ketua Pengarah JPN itu lagi, sepanjang tempoh itu 214,033 bayi pelbagai bangsa "didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834orang". (Maknanya, antara 214,033 anak luar nikah itu, ada 104,834 yang tidak ada bapa. Ha, fikirkanlah tu!)

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009 itu, anak luar nikah orang Melayu menduduki tempat kedua terbanyak. Tempat ketiga India 23,696 kes, dan tempat keempat Cina 23,692 kes.(Melayu-Islam 74,723 kes. Jauh betul bezanya. Kenapa?) Tempat pertama ialah "kaum-kaum lain",91,922 kes.

Demikianlah hebatnya kita orang Melayu! Walaupun beragama Islam tapi kitalah yang paling banyak melahirkan anak luar nikah, di samping kitalah juga yang paling ramai terlibat dalam penagihan dadah! Hebat, hebat! Di manakah hebatnya kita ini sebenarnya? Ceramah Islam merata-rata, sana sini ada, tak henti-henti. Siap ada saluran tivi khas lagi. Mengajar Islam saja. Tapi orang Islamlah juga yang paling hebat buat kerja-kerja mungkar. Apasal?

Kita ada Pusat Islam atau Jakim. Kita ada IKIM. Kita ada Jabatan dan Majlis Agama Islam disetiap negeri. Sedangkan penganut agama lain tak ada pun institusi agama seperti itu. Mereka tak hebat macam kita pun dakwah dan kempen agama mereka!

Jadi, apa maknanya kita berdakwah, berforum perdana, berceramah agama dan macam-macam lagi cakap dan mengajar agama itu? Apa yang kita ajar sebenarnya? Atau di mana salahnya pengajaran dan dakwah agama Islam kita?

Malulah! Malu!

Ada benda yang sangat tidak okey sedang berlaku dalam masyarakat Islam di negara kita Malaysia sekarang ini. Betul. Serius! Sangat tidak okey. Sangat tidak kena. 74,723 kelahiran di luar nikah didaftarkan dalam masa lima tahun. Ertinya dalam masyarakat Islam di negara kita hari ini, di kalangan kita, terdapat mungkin lebih daripada 200 ribu orang Melayu-Islam yang dilahirkan di luar nikah.

Tetapi hairannya, kita tidak risau pun dengan keadaan ini. Tidak ada pun pihak yang menyuarakan perkara ini untuk diambil tindakan tertentu bagi mencari jalan mengatasinya atau apa-apa yang seperti itu? Seolah-olah ia sudah menjadi satu perkara biasa. Sudah jadi satu fakta kehidupan hari ini. Atau sudah jadi satu cara hidup masyarakat Melayu Islam kita hari ini.

Maka apabila dikaitkan dengan cerita murtad yang dikatakan terdapat ratusan ribu orang yang telah melakukannya itu, difikir-fikirkan semula, masuk akal jugalah cerita itu walaupun tidak ada statistik yang rasmi mengenainya. Kalau anak di luar nikah sahaja sudah sebanyak itu,hairan apakah lagi kalau seramai itu juga yang sanggup keluar agama!

Waduuh! Inilah fakta kehidupan kita hari ini. Bayangkanlah, kalau anak luar nikahnya 17,303 kes setahun, berapakah pula ramainya mereka yang terlibat dengan perlakuan zina dan seks di luar nikah. Tentulah berkali-kali ganda daripada itu, 'kan!

Dan semua itu sudahpun menjadi perkara biasa dalam kehidupan hari ini. Tanyalah generasi muda hari ini tentang perkara ini. Bukankah ini nilai kehidupan yang dihidangkan kepada mereka saban hari dan saban malam melalui pelbagai saluran televisyen dan filem-filem asing yang dapat dilihat melalui internet bila-bila masa saja!

Jadi, tidak hairanlah dengan perangkaan anak luar nikah 17,303 kes setahun itu. Ia sekadar suatu perangkaan biasa sahaja. Samalah seperti perangkaan barapa ramai perceraian berlaku dalam setahun, atau berapa jumlah kematian disebabkan kemalangan jalanraya dalam setahun. Sekadar untuk makluman sajalah! Siapa peduli?

Ya, siapa peduli? Itulah ungkapan atau 'kata kunci'nya hari ini. Siapa peduli? 17 ribu atau 70ribu atau 700 ribu yang melahirkan anak di luar nikah pun - siapa peduli? Masing-masing uruskanlah hal ehwal dan masalah masing-masing. Bukankah kehidupan moden hari ini memerlukan manusianya bersikap begitu?

Dan permainan orang-orang dewasa pula? Politik, politik, politik. Yang bisnes pula - bisnes, bisnes, bisnes. Itulah dia kenyataan hidup hari ini. Masing-masing sibuk dengan politik dan bisnes masing-masing. Siapa peduli soal akhlak? Hah! Kelakar kata mereka, kalau kita ajakmereka bercakap soal akhlak. Kelakar!

Demikianlah realiti kehidupan hari ini. Sudah jauh berbeza daripada kehidupan generasi yang lalu. Terlalu sifistikated dan komplikated, seolah-olah sudah tidak ada kuasa atau 'lembaga' yang dapat mengawalnya lagi. Sudah terlepas daripada kawalan yang dapat dilakukan oleh manusia. Atau barangkali saya tersalah membuat rumusan. Harap-harap saya salah!


---
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408

0 comments:

Post a Comment