Wednesday, July 15, 2009

Kerajaan BN digesa terus bangunkan Manek Urai


Kerajaan BN digesa terus bangunkan Manek Urai

Salmiyah Harun
Wed Jul 15, 09 9:00:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Hrkh) -Dewan Pemuda PAS mencabar BN agar menunaikan janjinya untuk membangunkan Manek Urai dengan peruntukan sebanyak RM24 juta termasuklah membina jambatan yang bernilai RM7 juta seperti mana yang diuar-uar kepada pengundi pada pilihan raya kecil lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, selaku kerajaan yang memerintah negara ini BN sepatutnya boleh melaksanakan pembangunan di Dun itu.

Katanya, BN tidak perlu menunggu hanya dengan kemenangannya di lubuk PAS itu barulah boleh membangunkan Manek Urai.

"Tidak semestinya mereka harus menang, baru hendak melaksanakan pembangunan. Mengapa harus tunggu menang? Sebab jika menang pun BN tidak dapat menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan," tegasnya.

Jelasnya, Umno dan BN sengaja memperbodohkan rakyat dengan janji yang agak luar biasa.

"Inilah sikap BN! Kita harap dalam PRU-13 nanti rakyat tidak lagi terpedaya serta terperangkap dengan janji mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengakui tekanan meterial yang luar biasa itulah menyebabkan kemenangan tipis PAS.

Dengan janji jutaan ringgit itu, Nasruddin percaya pengundi Manek Urai mungkin terpersona dan terpedaya dengan janji BN sehingga sukar untuk membuatkan membuat keputusan bijak.

Justeru, katanya, PAS harus mengambil iktibar di atas kemenangan tipis parti itu dan menganggap ada hikmah yang perlu dijadikan pengajaran bagi setiap ahli PAS.

"Apa yang berlaku ini, semua pemimpin dan ahli parti PAS mengambil iktibar supaya kita kembali bertaut. Kemenangan itu datang daripada Allah kerana kehebatan kita," katanya. - azm-HarakahDaily.Net-

0 comments:

Post a Comment