Wednesday, June 17, 2009

MB tidak bermaksud 'Kerajaan Perpaduan'

17 June 2009


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak bermaksud untuk berunding dengan UMNO berhubung pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid berkata, apa yang dimaksudkan Azizan dalam kenyataan sebelum ini ialah pihaknya sudah lama mengamalkan perpaduan dalam mentadbir kerajaan negeri termasuk kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO mahupun pihak-pihak lain dalam memajukan rakyat dan negeri Kedah.

“Itu yang dimaksudkan oleh Menteri Besar. Beliau sama sekali tidak bermaksud untuk berbincang dengan UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan di peringkat negeri. Ini semua tidak perlu kerana kita (Pas) masih mempunyai cukup kekuatan bersama komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk mentadbir negeri ini,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan ketika membuat kenyataan itu sekadar mengulas kenyataan terdahulu oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

“Bagi Menteri Besar, dalam perkara perpaduan, Pas Kedah sememangnya sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi dalam konteks kerajaan perpaduan, perkara itu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan Pas di peringkat Pusat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment