Wednesday, December 3, 2008



Wednesday, December 3, 2008

Kulim 2020: Daerah Kulim akan dinaiktaraf

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
KULIM, 2 Disember: Draf Rancangan Tempatan Daerah Kulim 2004-2020 atau lebih dikenali sebagai Kulim 2020 adalah satu usaha kerajaan di bawah pengawasan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia untuk membangunkan dan menaiktaraf ekonomi, sosial dan fizikal Daerah Kulim.
Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, draf rancangan itu diwujudkan adalah sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran globalisasi khususnya perindustrian berteknologi tinggi dan hasrat untuk menjadikan Kulim sebagai Bandaraya Pintar di Negeri Kedah.
"Kulim 2020 akan menterjemahkan dan memperincikan dasar-dasar strategik yang telah diperuntukan di dalam Rancangan Struktur Negeri Kedah untuk dilaksanakan di peringkat daerah," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Publisiti Draf Rancangan Tempatan Daerah Kulim 2004-2020 di Dewan Majlis Perbandaran Kulim, di sini.
Menurutnya, ia mengutarakan dengan lebih terperinci tentang cadangan-cadangan pembangunan yang direncanakan untuk kawasan Majlis Perbandaran Kulim sehingga tahun 2020 dan akan menjadi panduan kepada Majlis Perbandaran Kulim khususnya dan kerajaan negeri amnya di dalam memaju dan mencorakkan pembangunan di daerah ini.
"Kita ingin menjadikan Kulim sebagai daerah berimej teknologi tinggi yang mesra penduduk tanpa mengabaikan aspek sekitar serta dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam usaha menuju kemajuan fizikal, ekonomi dan sosial," katanya.
Ujarnya, Kerajaan Negeri tidak mahu sesuatu cadangan, perancangan atau wawasan yang dibuat itu adalah di luar dari kemampuan atau ia adalah tidak realistik, namun, yang lebih penting adalah bagaimana cara untuk kita melaksanakannya.
Beliau menjelaskan, pihak yang merancang hendaklah mempunyai pelbagai persiapan ke arah itu seperti kemudahan-kemudahan yang diperlukan dan bagi sesetengah pihak menganggap kemajuan itu adalah sejauh mana atau sebanyak mana jumlah pembangunan yang berjaya di bawa ke satu-satu tempat.
Tambahnya, jika kejayaan yang dicapai tidak dapat dirasai oleh rakyat atau semakin maju sesuatu tempat itu semakin terhimpit pula hidup rakyat, maka pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan tersebut.
Posted by Warta Darul Aman Daily at 1:27 PM
Labels:

0 comments:

Post a Comment