Wednesday, December 24, 2008


Oleh: WADIASSOFI JAAFARKUALA KEDAH, 23 Disember:


Mangsa kebakaran di Kampung Madrasah, di sini diminta bersabar dan redha dengan apa yang berlaku kerana setiap yang terjadi itu adalah ketentuan dari Allah Yang Maha Esa.Isteri Menteri Besar Kedah, YABhg. To' Puan Hajah Faikah Sheikh Hamzah berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri tetap menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran itu.“Apa yang berlaku ini adalah ketentuan dari Allah S.W.T dan setiap daripada mangsa kebakaran perlu banyak bersabar,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di sebuah tadika di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, YB. Mohd. Nasir Mustafa dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datin Che Barni Mohd. Noor.Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, enam rumah papan di kampung itu musnah mengakibatkan 24 orang daripada enam keluarga tinggal sehelai sepinggang.Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Star, Kamarulzaman Osman berkata, empat jentera bomba bersama 20 anggota dari Balai Bomba Jalan Raja dan Jalan Tun Abdul Razak berjaya mengawal kebakaran itu selama kira-kira 20 minit.Menurut Kamarulzaman, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.Penolong Penguasa Balai Bomba Alor Star (Bahagian Siasatan Kebakaran), Mohd. Fauzi Suid berkata, kebakaran yang berlaku itu dipercayai akibat litar pintas di sebuah rumah dua tingkat.“Kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api cepat merebak dan menyambar rumah enam keluarga itu. Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba termasuk bomba sukarela berjaya menghalang api daripada merebak ke puluhan rumah lain di kampung berkenaan,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment