Thursday, January 1, 2009

230 MURID TERIMA BEG SEKOLAH DARIPADA YB USTAZAH AISHAH







230 MURID TERIMA BEG SEKOLAH DARIPADA YB USTAZAH AISHAH

Oleh Abd Wahab bin Osman

KULIM 31 Disember - Seramai 230 orang murid menerima sumbangan beg sekolah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKM) yang diadakan di Dewan Serbaguna Kilang Lama, dekat sini.

Sumbangan beg-beg sekolah itu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PWKR) Merbau Pulas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat merangkap Adun Merbau Pulas, YB Ustazah Aishah Ghazali menyampaikan beg-beg tersebut kepada murid-murid sekolah yang terpilih dalam kawasan DUN Merbau Pulas.

Menurut YB Ustazah Aishah, walaupun sumbangan yang diberikan itu kecil, namun pemberian itu menunjukkan komitmen semua pihak yang ingin melihat murid-murid sekolah berkenaan diberi galakan untuk melanjutkan pelajaran.

Adun Merbau Pulas itu menjelaskan bahawa kemiskinan bukanlah alasan yang boleh diterima jika murid-murid enggan melanjutkan pelajaran,

“Dalam tempoh dua bulan sahaja iaitu pada November dan Disember tahun ini kerajaan negeri telah memperuntukkan RM 350 ribu untuk membantu golongan miskin agar rakyat tidak terus tercicir dalam arus pendidikan,

“Saya sangat berharap anak-anak yang menerima sumbangan pada hari ini mampu menjejakkan diri mereka hingga ke peringkat universiti dan akhirnya mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor industri yang berkembang pesat di daerah Kulim ini.” kata YB Ustazah Aishah.

Menurut YB Ustazah Aishah, penubuhan Tabung Tengku Mahmud oleh kerajaan negeri adalah bertujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik terutamanya dalam bidang pendidikan.

Ujarnya lagi, Tabung Tengku Mahmud yang mengumpul dana lebih RM 8.75 juta dijangka memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menjelang tahun 2009

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Zulkifli Ramli

1 comments:

AFRAR YUNUS said...

salam semua,
tahniah ustazah dan ajk - gunakan blog sebagai media maklumat.

Post a Comment