Tuesday, November 25, 2008




Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
sumber Warta Daily


ALOR STAR – Kepimpinan berlandaskan ajaran Islam menjamin kesejahteraan dan kejayaan di dunia dan akhirat kepada pemimpin tersebut yang turut dirasai seluruh rakyat.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan, YB Ustazah Hajjah Siti Aishah Haji Ghazali berkata demikian kepada para tetamu di Majlis Ihtifal 2008 Sekolah Rendah dan Tadika An-Najaah. Majlis yang meraikan pelajar-pelajar Sekolah Rendah An-Najaah itu diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kolej Universiti Insaniah di sini baru-baru ini.

Bersesuaian dengan moto An-Najaah ‘Ketaqwaan Membawa Kejayaan’, sekolah ini dapat melahirkan generasi muda yang berjaya di dunia, di samping bertaqwa kepada Allah sebagai pedoman hidup dunia dan akhirat.

“Pihak kerajaan mengalu-alukan kelahiran sekolah begini kerana sekolah inilah yang akan melahirkan pemimpin yang bertanggung jawab terhadap Islam,” jelas beliau.

An-Najaah diasaskan oleh Ustaz Syed Ali Al-Mortadha bersama Puan Sharifah Faegah pada 3 Mac 1996 di Jalan Telok Wanjah, Alor Star, dan kini mempunyai dua cawangan di Kedah, satu di Perlis dan Selangor.

Majlis Ihtifal An-Najaah dimulakan dengan bacaan Ayatul Kursi, Surah Yaasin dan Asmaul Husna oleh semua murid tadika, diikuti bacaan Surah Ar-Rahman, salawat dan doa oleh murid sekolah rendah An-Najaah. Yang lebih menarik lagi, pelajar sekolah tersebut menjadi pengerusi majlis yang diterjemahkan kepada tiga bahasa, Melayu, Inggeris dan Arab.

Ini menunjukkan kanak-kanak berumur tujuh tahun mampu menghafal ayat-ayat suci Al-Quran, sedangkan orang dewasa pun belum tentu dapat menghafalnya.

“Saya ucapkan tahniah kepada ibu bapa yang telah menghabiskan harta kepada anak-anak mereka untuk berjaya di dunia dan akhirat,” ujar beliau kepada para ibu bapa yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Penerangan dan Pembangunan Insan, YB Dr Ismail Salleh, Penasihat An-Najaah, Ustaz Syed Ali Al-Mortadha dan Pengetua An-Najaah, Puan Sharifah Faegah.


Tamat

0 comments:

Post a Comment