Monday, December 1, 2008


Monday, December 1, 2008

BANTUAN BENCANA ALAM TAK AMBIL KIRA ‘PAS,UMNO’

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR SETAR – Rakyat berhak memilih siapakah pemimpin mereka. Pemimpin yang dipilih hendaklah memikul amanah dan tanggungjawab dengan adil dalam memastikan setiap rakyat mendapat hak mereka, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.
Demikian menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan, YB Ustazah Hajjah Siti Aishah Haji Ghazali bagi menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa EXCO Kebajikan memberi bantuan secara pilih kasih, iaitu bantuan hanya diberi kepada rakyat berfahaman politik PAS.
Seperti yang berlaku pada banjir Oktober lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah wang kepada mangsa-mangsa tanpa menyoal selidik fahaman politik mereka, bantuan dihulurkan kepada yang layak.
"YB Bakar Bata mengatakan saya memberi bantuan secara pilih kasih, saya nak sebut pilih dulu, nak bagi bantuan mestilah kena pilih iaitu beri bantuan kepada yang layak saja dan pilih kasih tak pernah ada dalam bagi bantuan.
"Selama saya jadi Exco kebajikan, saya tak pernah tahu pun berapa ramai orang PAS yang dapat bantuan, orang UMNO dapat bantuan, saya bagi semua sama rata berdasarkan kelayakan mereka," jelas beliau pada Sidang Dewan Negeri Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas.
Bagi tahun 2009, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.6 juta iaitu bertambah sebanyak RM1 juta disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membela golongan yang kurang bernasib baik dan penduduk yang ditimpa bencana, tambah beliau.
"Bajet dah tambah RM1 juta, kita akan naikkan bantuan dalam bentuk bantuan am, di mana kita akan pinda bantuan dasar am negeri supaya keadaan dan kos hidup semasa termasuk dasar bantuan bencana negeri," tambah beliau.
Menyentuh mengenai hasrat kerajaan menaikkan cuti bersalin kepada kakitangan wanita yang dibangkitkan oleh ADUN Belantek, YB Encik Tajuddin Abdullah, YB Ustazah Siti Aishah menjelaskan bahawa dasar itu masih dalam kajian sebelum memutuskannya.

0 comments:

Post a Comment